loading...
  • Breaking News

    Tuesday, August 8, 2017

    Tak Ramai Tahu Pampasan Kematian Akibat Serangan Haiwan Seperti Diterima Keluarga Murid Tahun 2 Ini


    BETING LINTAN - Pejabat Kebajikan Daerah Besut telah mengarahkan kakitangannya menemui keluarga murid tahun dua yang maut akibat disengat lebih 60 tebuan bagi proses permohonan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas.

    Pegawai Kebajikan Daerah Besut, Suzieyati Siyude berkata, kakitangannya sudah pergi ke rumah keluarga Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, 8, di Kampung Benting Lintang semalam untuk membantu waris mangsa membuat permohonan menerusi tabung tersebut.

    Menurutnya, pihaknya mendapati keluarga mangsa layak memohon dan mereka perlu menyediakan beberapa dokumen yang diperlukan seperti surat pengesahan kematian, laporan perubatan selain pengesahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

    “Bagi kes seperti ini keluarga atau waris layak memohon dan mereka boleh menerima bantuan di bawah tabung ini sehingga maksimum RM20,000,” katanya.

    Suzieyati berkata, pada Ogos tahun lalu waris seorang pemandu traktor pembajak, Mohamad Ishak yang maut juga akibat diserang tebuan telah memperoleh RM20,000.

    Menurutnya, lebih kurang empat tahun lalu seorang kanak-kanak yang maut akibat serangan haiwan sama ketika membonceng motosikal bersama ibunya di Kampung Pengkalan Nyireh turut mendapat bantuan dalam jumlah sama.


    Laporan Sinar Harian Sabtu lalu mengenai Muhammad Adrian yang maut disengat tebuan.

    “Selepas semua dokumen yang diperlukan lengkap, pihaknya akan memproses permohonan tersebut dan bantuan ini adalah sumbangan kerajaan terhadap waris mangsa,” katanya.

    Kata beliau, selain tebuan, mangsa serangan haiwan buas lain boleh mengemukakan permohonan dan jumlah sumbangan bergantung kepada tahap kecederaan dialami mangsa.

    Disengat lebih 60 ekor tebuan

    Sinar Harian Sabtu lalu menyiarkan kegembiraan seorang kanak-kanak bermain sembunyi-sembunyi bersama saudara dan rakannya dalam semak berhampiran rumahnya di Kampung Benting Lintang, dekat sini, berakhir tragedi apabila dia maut disengat lebih 60 tebuan.

    Mangsa, Muhammad Adrian Aiman Mohd Rosmin, 8, yang juga murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Benting Lintang disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu, Kelantan pada jam 11 pagi Jumaat.

    Bapa mangsa, Mohd Rosmin Ong Bo Jit@Hussin, 30, berkata, kejadian berlaku ketika anak sulungnya itu sedang bermain di kawasan tersebut, kira-kira 100 meter dari rumahnya.

    “Waktu itulah dia bersama empat yang lain diserang tebuan yang bersarang atas pokok. Anak saya paling banyak kena sengat bermula dari kaki hingga ke muka.

    “Anak saudara saya hantar dia balik ke rumah dengan motosikal kira-kira jam 6.45 petang semalam (kelmarin). Masa tu saya di kandang lembu tepi rumah bersama isteri. Keadaannya masa tu dah lemah, tapi masih boleh bercakap,” katanya ketika ditemui di rumahnya, petang itu.

    Tak bagi minum air

    Pemandu lori itu berkata, dia bersama isteri, Nor Azah Hamid, 27, bergegas membawa anak mereka ke Hospital Besut dengan menaiki kereta dan dalam perjalanan Muhammad Adrian Aiman beberapa kali meminta minuman.

    Bagaimanapun katanya, dia tidak menuruti kehendak anaknya itu kerana bimbang keadaan akan lebih teruk sekiranya minum.

    “Saya tak bagi air kepadanya sampai dia tanya nak tengok Along mati ke?” katanya.

    Menurut Mohd Rosmin, anaknya boleh bercakap sehingga pihak hospital memasukkan tiub menerusi mulutnya pada jam 9 malam bagi memastikan dia berehat.

    Memandangkan keadaan Muhammad Adrian Aiman semakin teruk, anaknya itu dirujuk ke HRPZII untuk rawatan lanjut.

    "Sebelum tu kami rasa dia akan pulih sebab pihak hospital cakap keadaannya stabil. Tapi bermula 9 pagi tadi (Jumaat lalu) kami diberitahu keadaannya makin kritikal sebab buah pinggang tak berfungsi.

    "Dalam jam 11 pagi, kebimbangan kami menemui noktah bila doktor mengesahkan arwah meninggal akibat kegagalan jantung," katanya.

    Mohd Rosmin berkata, jenazah dibawa pulang ke rumah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benting Lintang selepas solat Isyak.

    Tambahnya, semangat anaknya kuat kerana dia masih sedar sehinggalah diberi ubat tidur walaupun disengat lebih 60 tebuan di seluruh badan.

    “Badannya tak bengkak, cuma ada kesan sengatan di seluruh badan dan keluar darah melalui mulut," katanya.


    Waris mangsa, Remli Mat Lazim, 50, menunjukkan lokasi kejadian tidak jauh dari rumah mangsa.

    Tak sempat tunai hajat anak ke Pulau Perhentian

    Bagaimanapun, Mohd Rosmin agak terkilan kerana tidak sempat memenuhi hajat arwah yang beria-ia mahu pergi ke Pulau Perhentian seperti rakan-rakannya yang lain.

    Allahyarham merupakan anak sulung daripada dua beradik.

    Adiknya, Nor Adrien Adriana yang lahir pada tahun sama tidak berada di tempat kejadian ketika abangnya disengat tebuan.

    Sementara itu, dua mangsa lain, Muhammad Fazlin Izat Ariffin, 14 dan Muhammad Saliqin Harif Hashim, 14, yang merupakan sepupu arwah, masih dirawat di wad Hospital Besut.

    Seorang lagi mangsa dirawat di hospital sama sebagai pesakit luar.

    Sumber: GPS Bestari


    from Sehinggit Media News http://ift.tt/2hEHNdF
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment