loading...
  • Breaking News

    Friday, July 12, 2019

    'Takde jalan lain ke nak selamatkan baby ni?' - Coretan si suami undang sebak netizen


    Kelahiran cahaya mata dinantikan setiap pasangan, apatah lagi jika sudah lama mendirikan rumah tangga. Kata orang, anak sebagai penyeri kehidupan suami isteri.  Ada orang yang mengeluh dengan kerenah dan perangai anak-anak. Tetapi, tanpa kita sedari, ada insan lain yang menangis dengan pemergian anaknya.

    Perkongsian lelaki ini membuatkan netizen sebak. Anak yang ditunggu-tunggu kehadirannya, telah meninggal dunia ketika kandungan berusia 27 minggu. Isterinya masih terpinga-pinga bila dikhabarkan bayi dalam kandungan telah tiada.  

    PADA 4 Julai 2019 hari Khamis, isteri perasan gerakan bayi syurga kami  tak terlalu aktif sehinggalah jam 2 petang, gerakan terakhir yang agak lemah. Hari tu, aku pulang dari kerja agak lewat, (lepas maghrib). Dalam keadaan letih, isteri sedang makan dan mengadu yang anak kurang bergerak. Aku pun hanya tersenyum dan mengiyakn sahaja (tak dengar pun sebenarnya apa yang dia cakap). 

    Baru saja nak letak punggung, isteri terus mengajakku keluar malam untuk cari barang baby sebab dia dah scan kelmarin baby die tu boy. Excited sangat katanya. Aku dengan keadaan letihnya melihat kepada "keexciteddan" isteri, aku mengalah. Ye lah malam ni kite pergi ye lepas solat maghrib. Sesampai di pasar raya macam-macam barang baby dia ambik (ayooi banyak jugak abis duit). Tapi takpelah, beli sikit-sikit.

    5 julai 2019 Jumaat keesokannya, sesudah solat subuh aku terus sambung tidur (maklumlah hari cuti) sampaikan isteri keluar pergi mengajar pun aku tak sedar. Setelah pulang mengajar, kami makan bersama dan sekali lagi isteri mengadu baby masih tak bergerak. Tapi kami masing-masing cuba sedapkan hati, (tunggulah lepas-lepas ni geraklah tu). 

    Lepas solat Jumaat, isteri mengadu lagi baby tak bergerak. Aku dah mula tak sedap hati terus ajak pergi klinik. 

    Mula-mula pergi klinik komuniti, nurse itu cakap doktor takde kat sini. Hari Jumaat klinik banyak tutup. Pusing-pusing dalam 3,4 buah klinik semua tutup. Last pergi ke klinik di Kuala Ibai. 

    Masa doctor scan jantung baby tu, doctor cakap dia tak nampak jantung baby. Tapi aku dah perasan doctor tu tak nak bagi kami ni terkejut dengan keadaan baby tu. So dia tetap cari pusing-puisng kat perut dalam 15 minit pun ada. 

    Time tu aku dah mula sebak, sebab nampak jantung baby tak bergerak langsung (baby dah meninggal) tapi cover tak nak bagi isteri nampak. Doktor tunjuk kat kami skrin scan tu dan dia beritahu kami untuk terus rujuk ke HSNZ. Plus doktor cakap, apa-apa berlaku mohon bersabar  kuatkan semangat. Lagilah sebak. 

    Sambil doktor isi borang untuk rujuk ke HSNZ , tetiba isteri cakap, "Mesin tu tak elok, 2 hari lepas saya scan okay je, ada je jantung gerak". Bertambah-tambah sebak aku dibuatnya. Namun aku hanya lontarkan senyuman terpaksa kepada isteri.

    Dalam perjalanan ke HSNZ, air mataku sudah mula menitis, tapi isteri tak perasan sebab memandu pakai kaca mata hitam (walaupun cuaca mendung). Sampai di HSNZ, kami beri surat rujukan doktor tadi kepada nurse yang bertugas. 

    Nurse pun cakap, "Doktor kata anak awak dah tak ada ni.". Isteri pun menjawab, "Bukan... doktor tu cakap  tak nampak jantung baby kat mana.." Aku ni menjurai air mata dengar isteri yang masih tak sedar yang anak dah takde. 

    Nurse pun terus memanggil isteri masuk ke bilik rawatan untuk membuat pemeriksaan lanjut. Selepas hampir setengah jam, aku dipanggil nurse untuk masuk jumpa doktor. Doktor beritahu bahawa baby dalam kandungan isteri dah takde blood flow dan denyutan jantung. Aku tahan lagi sebak.

    Doktor beritahu yang isteri terpaksa lahirkan baby tu sebab baby dah meninggal. Dia beritahulah prosedur yang kena isteri lalui dan aku memahaminya. 

    Last doktor tanya, "Ada apa-apa soalan?". Isteriku bersuara, "Takde jalan lain ke nak selamatkan baby ni???" (dia masih belum paham yang baby tu dah takde). Kali ni aku kalah. Aku  terus peluk isteri dan menangis. Barulah dia faham yang anak kami memang dah takde. Kami berdua mencurah-curah air mata depan doktor.

    Then, admitted ward selama 4 hari sebelum lahirnya baby syurga kami Muhammad Yusof bin Muhammad Fakhri pada 8 julai 2019 jam 9.53 pm. Kemudian jenazah diambil sedikit uri dan darah untuk mengtahui sebab kematian. 

    Jam 11.30 pm, jenazah dibawa ke bahagian forensik untuk disimpan semalaman. 9 julai 2019 jam 8 am, dimandi dan dikafankn di HSNZ. Jenazah dihantar ke kubur Merbau Patoh dan selamat dikebumikan jam 10 am.

    Hadirmu hanyalah 27 minggu dalam kandungan mama, namun pemergianmu mampu menitiskan berjuta-juta air mata orang yang menanti kelahiran mu sayang.







    Terima kasih kepada semua ummi abi dan keluarga mak mertua, adik beradik ipar biras, sedara mara dan kawan-kawan yang sentiasa bantu serta mendoakan kebaikan untuk kami. Ribuan terima kasih untuk isteri tercinta kerana melahirkan bayi syurga buat ayah.

    Innalilahiwainnailahirajiun. Semoga arwah Muhammad Yusof dapat memberi syafaat untuk ayah dan mama dihari akhirat kelak.

    Sumber: Fakhri Ery


    from The Reporter https://ift.tt/2NQ9G28
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment