Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di Mumbai, dicekik oleh ahli keluarganya sehingga tidak sedarkan diri sebelum dicampak di kawasan pantai kerana menyangka mangsa sudah tidak bernyawa, lapor Gulf News.
Mangsa kemudian ditemui oleh seorang petani yang kebetulan lalu di kawasan itu ternampak mangsa terbaring tidak sedarkan diri di kawasan semak di pantai Suruchi di Vasai.
Petani itu terus menghubungi polis dan memaklumkan penemuan itu sebelum membawa mangsa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
Apabila mangsa tersedar, dia menangis dan mula menceritakan kepada pihak polis mengenai kejadian yang menimpanya.
Menurut mangsa, ibu bapanya baru-baru ini mendapat tahu yang dia mempunyai hubungan dengan seorang lelaki dan tidak merestui perhubungan itu. Mereka cuba memujuk mangsa untuk meninggalkan teman lelakinya, tetapi mangsa nekad dan mahu berkahwin dengan lelaki pilihannya itu.
Pada hujung minggu, mangsa diajak oleh bapa dan abangnya berjalan ke pantai dan disitu dia dicekik dengan menggunakan skaf dipakainya. Menyangka mangsa telah mati, dua beranak itu kemudian membuang mangsa ke dalam kawasan semak dan kembali ke rumah.
Inspektor Kanan Anant Parad berkata, pihaknya telah menahan ibu bapa mangsa berusia 55 dan 50 tahun, turut ditahan bersama abang mangsa berusia 25 tahun. Bagaimanapun, dua lagi adik mangsa tidak terbabit dalam kejadian itu.
Ketiga-tiga mereka ditahan reman untuk membantu siasatan. Polis turut merampas telefon bimbit suspek dan siasatan sedang dijalankan. Polis juga sedang menyiasat sama ada suspek pernah mengugut teman lelaki mangsa.
from The Reporter https://ift.tt/2UtuVYf
via IFTTT
No comments:
Post a Comment