Seorang lelaki yang dituduh merogol isteri rakannya sendiri bertindak membakar mangsa bersama dengan suami serta anak perempuan pasangan itu yang berusia tujuh tahun.
Suspek berusia 32 tahun itu dilaporkan memperkosa mangsa yang ketika itu bersendirian di rumahnya di bandar Gwalior, Mahdya Pradesh, India pada 31 Oktober 2020.
Suspek mengugut mangsa untuk tidak memberitahu kejadian itu kepada sesiapa. Enggan berdiam diri, mangsa menceritakan kejadian yang berlaku itu kepada suaminya, malangnya pasangan itu tidak mempunyai keberanian untuk membuat laporan polis terhadap suspek, kerana bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga.
Tambahan pula, suspek mulai mendesak mangsa untuk bertemu dengannya beberapa kali, tetapi mangsa menolak keinginan suspek.
Isnin, 2 November 2020, suami mangsa pergi membuat laporan polis terhadap suspek yang telah mengauli isterinya. Tindakan suami mangsa itu kemudian diketahui oleh suspek, lalu merancang untuk membunuh lelaki berkenaan.
Pada malam itu, suspek masuk ke rumah keluarga itu dan terus menyimbah petrol pada suami mangsa lalu dibakar hidup-hidup. Si isteri dan anak perempuannya segera berlari untuk membantu mangsa tetapi di kesempatan itu, suspek menyimbah petrol pada dua beranak berkenaan dan dibakar.
Ketiga-tiga mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dan mengalami luka terbakar dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Menurut jurucakap polis Gwalior, Superintendan Amit Sanghi berkata, pihaknya yang mendapat laporan mengenai kejadian itu terus membuat siasatan dan pergi ke rumah suspek. Namun keluarganya memberitahu, suspek sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta kerana mengalami luka melecur akibat perbuatannya sendiri.
Polis kini sedang memeriksa semua hospital swasta di bandar itu untuk menggesan suspek.
Dalam masa yang sama, polis juga sedang menyiasat kenyataan mangsa yang mendakwa balai polis di Thatipur tidak membuka kertas siasatan terhadap laporan polis yang dibuatnya berhubung kes rogol itu.
Sumber: Hindustan Times
from The Reporter https://ift.tt/38Cfp4K
via IFTTT
No comments:
Post a Comment