loading...
  • Breaking News

    Tuesday, June 30, 2020

    Tragedi Bot Terbalik, 'Saya Berpaut Pada Pelampung Pukat' - Mangsa


    "SEBAIK bot yang kami naiki terbalik, saya terus mencapai pelampung pukat untuk menyelamatkan diri selain sempat menarik seorang lagi mangsa yang juga selamat dalam kejadian itu," kata Muhammad Faris Ramli, 22.

    Muhammad Faris, seorang daripada 12 mangsa yang selamat dalam tragedi bot terbalik yang membawa 20 pemancing termasuk tekong untuk mencandat sotong di kawasan perairan Kuala Kemasin, Bachok pada 8.30 malam tadi.

    Dia yang baru pertama kali menyertai kumpulan mencandat sotong berkata, kejadian berlaku dengan pantas malah pada awalnya cuaca sangat baik dengan ombak yang tidak besar tetapi bertukar sebaik mereka sampai ke lokasi mencandat.

    "Kami diberitahu tekong bot bahawa tali sauh terputus dan terus diarahkan untuk masuk ke bahagian dalam kapal.

    "Ketika itu, semuanya hanya mampu terdiam kerana sudah merasakan ombak yang besar sehingga menggegarkan bot yang kami naik.

    "Tidak lama kemudian, terdengar hempasan yang kuat dan kapal mula terbalik. Dalam keadaan yang gelap kami semua bergelimpangan dan saya hampir lemas di laut.


    "Nasib baik, saya sempat mencapai pelampung pukat selain turut menarik tangan seorang lagi rakan (Harif Mat Yassin, 50) yang meminta tolong saya membantunya.

    "Saya menyuruhnya berpaut pada kapal yang separuh tenggelam kerana bimbang pelampung tidak mampu menampung kami berdua.

    "Hampir sejam kami di tengah lautan menunggu bantuan dan saya hanya terfikir bahawa saya akan mati dengan cara begini.

    "Saat itu, hanya dua orang yang saya nampak iaitu Harif dan rakan saya, Ahmad Roslan Musa, 31, yang turut berpaut pada kapal," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang To'la di Pasir Mas hari ini.

    Muhammad Faris berkata, sepupunya, Amir Syazwan Adnan, 21, juga terselamat namun masih resah menunggu khabar berita keadaan bapa saudaranya, Harun Daud, 60, yang masih hilang.

    "Tragedi ini tidak saya lupakan buat seumur hidup. Saya hanya mampu menjerit meminta tolong walaupun dalam keadaan lemah selain beberapa kali menyeru nama sepupu dan bapa saudara sebelum diselamatkan bot nelayan.

    "Saya berdoa agar empat lagi rakan yang hilang segera ditemui termasuk bapa saudara saya," katanya.

    Sumber: Harian Metro


    from Sehinggit Media News https://ift.tt/2NJygiC
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment