loading...
  • Breaking News

    Friday, August 4, 2017

    Gaji Rendah, Anggota Polis Terpaksa Cari ‘Duit Lebih,’ Kata PPIM


    KUALA LUMPUR, 4 Ogos ― Gaji anggota polis yang masih rendah menjadi punca berlakunya salah guna kuasa, kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

    Ketua aktivisnya berkata jika kerajaan masih gagal mengatasi masalah itu maka salah laku di kalangan anggota polis akan terus berlaku.

    “Gaji rendah menyebabkan mereka terdesak untuk menipu atau mencari duit [sampingan] kadang-kadang.

    “Jika gaji mereka RM2,000, duduk di Kuala Lumpur dengan RM4,000 pun sudah berada di bawah paras kemiskinan.

    “Saya sudah suarakan kepada perdana menteri, ketua setiausaha negara dan ketua polis negara. Kita menipu diri sendiri,” kata Datuk Nadzim Johan kepada ProjekMMO.

    Beliau sebelum ini mendakwa tindakan agresif PPIM dapat mengelak penjawat awam mengancam kedaulatan negara.

    Katanya, penjawat awam yang terlibat dengan pelbagai masalah kewangan berpotensi menjadi dalang kegiatan jenayah dalam negara.

    Nadzim berkata jika kerajaan serius menangani isu moral di kalangan anggota polis maka masalah utama perlu diselesaikan.

    “Bila kita memberikan hak itu kepada mereka, barulah kita boleh melakukan penguatkuasaan. Jika mereka melakukan kesalahan, kita tangkap.

    “Kita perlu betulkan isu asas. Mengapa negara lain boleh buat?

    “Kerajaan kata tidak cukup duit. Tetapi duit yang kita hilang di pasaran gelap, itu lebih banyak. Jauh daripada apa yang kita nampak,” katanya.

    Mengulas mengenai sumber kewangan PPIM bagi membantu mangsa terlibat, Nadzim berkata sumbangan kerajaan tidak mencukupi.

    Katanya, aktivis harus bijak mencari dana sampingan agar mangsa yang ditindas mampu dibela dan diberikan perhatian sewajarnya.

    “Menguruskan NGO sebegini tidak mudah seperti menggenggam bara api. Tetapi kerana niat untuk membantu, kami berjaya bantu.

    “Dana kerajaan tidak mencukupi. Sebulan PPIM membelanjakan lebih RM200,000 termasuk sewa, alaun dan petrol.

    “Separuh tahun ini kami hanya menerima RM50,000 sahaja daripada kerajaan. Jauh mana kami boleh pergi? Itu bukan alasan. Untuk berjuang, kena pandailah,” katanya.

    Sumber: Menara.my


    from Sehinggit Media News http://ift.tt/2uasA9G
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment