PADAH menyamar inspektor polis, seorang remaja lelaki 19 tahun ditahan selepas menghampiri dua anggota polis yang sedang membuat tugasan pemantau dan pencegahan samseng jalanan di Kilometer 19, Jalan Kluang di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, remaja berkenaan yang lengkap seragam polis itu menghampiri dua anggota terbabit dan memperkenalkan diri sebagai Inspektor Ramdan dari Cawangan Risikan Operasi Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor
Sumber polis berkata, suspek yang menunggang motosikal Honda EX5 itu memberitahu anggota berpangkat sarjan dan lans koperal terbabit bahawa dia sudah seminggu menjalankan tugas risikan kegiatan lumba haram di kawasan Parit Raja.
Katanya, curiga dengan suspek, anggota terbabit membuat semakan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan selain mendapati suspek berusia 19 tahun.
"Anggota terbabit meminta remaja berkenaan mengemukakan kad kuasa untuk kepastian, namun dia menunjukkan kad kuasa palsu yang dicetak dari Internet.
“Pemeriksaan tubuh ke atas suspek dan menjumpai beberapa peralatan polis," katanya di sini, hari ini.
Katanya, soal siasat ke atas suspek mendapati dia adalah pelajar sebuah kolej vokasional di daerah ini dan mengaku obses dengan seragam polis.
“Suspek memberitahu semua kelengkapan polis yang dimilikinya dibeli secara atas talian dan dia juga mengesahkan itu adalah kali pertama dia memakai pakaian seragam terbabit.
BARANG RAMPASAN
"Antara rampasan merangkumi tiga kad kuasa tiruan pegawai kanan polis berpangkat inspektor, gambar beruniform polis berukuran pasport, topi berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM), lampu suluh, anak kunci gari dan tiga pisau tertera logo burung helang,” katanya.
Turut dirampas, pistol plastik tiruan jenama Boale & Toyavn buatan China P193, baju kalis peluru berlogo PDRM, seragam operasi polis lengkap beramulet pegawai kanan polis berpangkat inspektor, tali pinggang berlogo PDRM dan sepasang but berwarna hitam.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan, 36(1) Akta Senjata 1960 dan 89 Akta Polis 1967.
Sumber: Harian Metro
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2Oj7uhw
via IFTTT
No comments:
Post a Comment