loading...
  • Breaking News

    Sunday, October 1, 2017

    "Saya Dengar Suara Suruh Pijak Al Quran, Suruh Buang Anak Bayi Saya," Suami Kongsi Catatan Ditulis Isterinya Terkena Meroyan


    Kehamilan merupakan berita gembira kepada pasangan suami isteri, tetapi segelintir dari kita tidak tahu sebenarnya ia memberi tekanan fizikal dan mental kepada wanita yang mengalami masalah loya dan muntah.

    Perkara ini boleh menyebabkan sesetengah wanita mengalami tekanan, kesedihan melampau atau lebih dikenali dalam masyarakat kita sebagai 'meroyan'.

    Meroyan juga dikenali sebagai Postpartum depression-PPD merupakan satu bentuk kemurungan yang boleh menyerang wanita yang baru bersalin.

    Jika mengikut orang tua-tua dulu, wanita yang sedang berpantang tidak dibenarkan untuk melakukan kerja-kerja berat kerana ia sebenarnya untuk memberi peluang kepada wanita untuk mendapat rehat secukupnya selepas melahirkan anak.


    Ramai tidak tahu apakah keadaan dan situasi sebenar yang berlaku kepada wanita yang mengalami masalah meroyan. Menerusi perkongsian lelaki ini, kita dapat tahu pengalaman wanita yang meroyan selepas bersalin.

    Mari kita baca perkongsia dari Lutfi Lokman tentang catatan peribadi isterinya yang pernah mengalami 'meroyan'.

    Berikut adalah catatan peribadi isteri saya. Puan Najwa Abdul Rahman yang sedang berubat baru-baru ini. Puas dia pujuk saya suruh tulis dan kongsikan kepada anda. Katanya, ramai orang di sana yang memerlukan sokongan seperti ini.


    Saya pun teringat. Ketika melahirkan anak pertama kami, Dr. Mashitah (salah seorang doktor pakar melayu yang bermastautin di Arab Saudi) telah membisikkan kepada saya,
    "Lutfi, jaga Najwa. Bantu dia. Jangan bagi meroyan. Dia ada simptom tersebut," sejurus keluar daripada menziarahi isteri saya dari bilik di Kota Makkah.

    Meroyan? itu adalah kali pertama saya mendengar kalimah tersebut dan saya tidak sangka ia tersangat serius.


    Bismillah.

    Hi. Saya Najwa. Ini adalah catatan saya ketika terkena penyakit yang disifatkan meroyan. Apa yang saya kongsikan di sini adalah pengalaman saya. Tujuan saya kongsikan adalah kerana di luar sana, saya tahu bukan saya sendiri sahaja yang mengalaminya. Ramai lagi orang lain yang kena juga penyakit ini namun tidak tahu merujuk kepada siapa. Ada yang meroyan bertahun lamanya. Ada yang pulih. Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat membantu mereka yang mengalami masalah sama dengan saya. Anda tidak keseorangan. Kita masih mempunyai harapan. Sinar cahaya masih ada di hadapan. Jangan putus asa.


    Meroyan ada banyak jenis. Apa yang Najwa alami sekarang adalah 'meroyan angin' dan 'meroyan darah'. Najwa tertekan dengan kehidupan, dengan anak menangis, suami tiada di sisi ketika melahirkan anak, sakit buasir ketika pantang, pantang tak boleh makan makanan yang biasa kita makan dan paling utama adalah tertekan dengan orang kata-kata orang yang datang ziarah ketika pantang (sebab Najwa beranak caeser).

    Perlahan-lahan Najwa cuba berubah. Sampai bila Najwa nak hidup seperti ini. Pasti di sana ada jalan yang boleh memulihkan diri Najwa. Amalan najwa berubat sekarang ialah baca Al Quran setiap hari (sekurang-kurangnya 10 mukasurat ), baca istighfar, baca saidul istighfar (boleh Google) setiap hari dan amalan-amalan lain lagi contoh masuk bilik air baca doa, masuk rumah baca doa dan lain-lain. Najwa jugaf berubat cara tradisional (seperti minum akar kayu Merbu).

    Simptom meroyan yang Najwa alami:


    1. Apabila baca Al Quran ada bisikan datang suruh buang Al Quran dalam tandas atau pijak.
    Astaghfirullah kalau Najwa tak ada asas agama mungkin dah lama tewas. Bila datang bisikan macam tu terus Najwa istighfar banyak-banyak dan cuba sedaya-upaya untuk lawan.

    2. Kadang-kadang datang bisikan pasal anak-anak. Suruh buang anak, bagi orang je anak ini, anak ini adalah beban dan mendatangkan malang. Astaghfirullah. Najwa sendiri hairan kenapa aku ni macam ni? Sekali lagi, kalau Najwa tak ada asas agama, tak tahu lah apa dah jadi dengan anak-anak Najwa semua ini. Alhamdulillah, Najwa lawan dan tak ikut apa yang bisikan tu suruh.

    3. Bila stress lagi lah bertambah bisikan tu dan Najwa tak ada ubat melainkan baca Al Quran dan Azkar (himpunan doa sunnah).


    4. Sensitif tidak bertempat. Contohnya, kalau Najwa beli coklat dan anak-anak makan coklat Najwa itu, Najwa akan menangis dengan sungguh-sungguh.

    5. Pemikiran tidak stabil. Masa tu di rumah emak. Rumah bawah. Terasa nak bunuh diri dan tamatkan hidup ini. Namun, terfikir juga berdosa apa yang Najwa buat ini dan sakit juga kalau kena batu. Lagi pula, rumah ni atas tanah. Bukan bangunan 40 tingkat. Nak terjun macam mana. Itulah kali pertama dan terakhir datang bisikan seperti itu. Masa itu pula dalam pantang anak kembar. Namun, Alhamdulillah. Asas agama adalah benteng pertahanan diri kita.

    6. Rasa putus asa, rasa bersalah, rasa sunyi, rasa letih, selalu menangis, rasa diri tidak berguna, rasa keseorangan, rasa sedih dan murung.

    Itulah perkara yang Najwa alami. Semua orang tak nampak. Orang tak percaya. Hanya diri kita sahaja yang tahu.


    Kepada mereka yang mempunyai simptom di atas, cepat-cepatlah berubat kerana jika terlambat boleh jadi gila. Ada yang terlalu berat sehingga membunuh diri dan orang yang disayangi. Meroyan bukan hanya dalam pantang sahaja ya. Ia boleh berlarutan seumur hidup jika tidak berubat.

    Paling penting, sokongan keluarga. Suami yang sentiasa ada di sisi. Suami yang melihat perkara ini dan membantu dalam perubatan. Membantu meringankan isteri. Menguruskan anak-anak. Mengemas rumah. Membasuh baju. Memberikan masa untuk Najwa bersendirian. Membantu ingatkan tentang solat dan bacaan Al Quran. Itu antara faktor penting dalam perubatan dan perubahan diri. Ia kembali kepada minda kita. Kekuatan minda yang diperlukan melalui amalan-amalan yang disebut di atas.

    Insya Allah. Allah tidak akan sia-siakan hambaNya. Diberinya cubaan dan akan diberikan ganjaran dalam pelbagai bentuk buat kita. Percayalah. Kita mampu untuk menanggungnya dan menguruskannya. Kerana kita adalah makhluk paling sempurna Allah ciptakan.

    Silakan kongsi. Semoga bermanfaat buat anda semua. Juga rujukan bagi bakal suami isteri.

    Sumber: Lutfi Lokman. Najwa Abdul Rahman, Siakapkeli


    from Sehinggit Media News http://ift.tt/2x7oR9T
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment