loading...
  • Breaking News

    Tuesday, November 14, 2017

    Dituduh berkhalwat, pasangan dibogel, dipukul dan diarak di jalan raya oleh penduduk kampung


    INDONESIA - Viral di media sosial hujung minggu lalu, video sekumpulan lelaki menelanjangkan sepasang kekasih sebelum diarak di jalan raya sebagai hukuman kerana berkelakuan tidak bermoral. 

    Dalam kejadian pada malam Sabtu lalu di Kampung Kadu, Tangerang itu menunjukkan pasangan berkenaan yang dipercayai belum berkahwin itu ditangkap oleh penduduk atas dakwaan melakukan perbuatan yang tidak bermoral di dalam rumah sewa. 

    Pasangan itu kemudian dipaksa keluar dari rumah dan seperti yang ditunjukkan dalam video viral itu, mangsa wanita hanya memakai baju, manakala kekasihnya tidak berpakaian. 

    Mangsa cuba meminta belas kasihan dari para penduduk berkenaan, namun tidak diendahkan. Sebaliknya mereka dipukul beberapa kali. Malah orang ramai yang menyaksikan kejadian itu turut mengambil kesempatan untuk merakamnya. 

    Selepas rakaman video kejadian yang disiarkan secara live di Facebook itu viral, Polis Daerah Tangerang kemudian menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu-individu yang menyerang pasangan berkenaan. 

    "Unit Siasatan Jenayah telah menyoal siasat mangsa berhubung kejadian itu," kata Ketua Polis Daerah Tangerang, Sabilul Alif kepada portal Detik, semalam.

    Rumah mangsa

    Sabilul berkata, pasangan itu juga mengalami kecederaan akibat diserang sekumpulan lelaki terbabit dan menegaskan suspek akan didakwa kerana mendera mangsa secara fizikal sebaik saja kesemua suspek berjaya dikenalpasti dan ditahan. 

    Dalam perkembangan terkini, polis telah berjaya menahan enam suspek yang terbabit dalam kejadian itu, yang hanya dikenali sebagai N, G, T dan A. Polis percaya enam suspek terbabit merupakan individu yang bertanggungjawab menyerang dan mengaibkan pasangan berkenaan. 

    Sabilul berkata, hasil siasatan mendapati pasangan berkenaan tidak melakukan perbuatan yang tidak bermoral seperti yang didakwa sehingga menyebabkan pasangan itu diserang di dalam rumah milik mangsa wanita. Sebaliknya pasangan itu sudah bertunang.

    "Mangsa lelaki hanya datang untuk menghantar makanan kepada tunangnya. Kemudian dia masuk ke tandas untuk mengosok gigi dan sebaik saja keluar, dia ditarik keluar.

    "Mangsa juga dipaksa untuk mengaku melakukan perbuatan yang tak senonoh dan jika tidak, suspek akan membogelkannya," katanya. 

    Tambahnya, suspek juga telah mengambil gambar dan merakam pasangan berkenaan dalam keadaan yang mengaibkan sebelum memuat naik gambar/video itu di media sosial. 

    "Ada yang kata, 'jom selfie dan upload'," katanya. 


    Unit Tindakan Jenayah Siber juga telah ditubuhkan untuk menangkap individu yang bertanggungjawab memuat naik video kejadian itu dan akan mendakwa mereka mengikut Akta Informasi dan Transaksi Elektronik. 

    Enam suspek berkenaan juga akan didakwa mengikut Perkara 170 KUHP (Kanun Jenayah) yang memperuntukkan hukuman lima tahun dan setengah tahun penjara atau sehingga sembilan tahun jika mangsa mengalami kecederaan. 

    Sementara itu, pasangan berkenaan mengalami trauma dan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kesemua suspek yang telah menyerang dan mengaibkan mereka dengan begitu teruk sekali di tempat awam. 

    Difahamkan, perbuatan mengarak pasangan yang melakukan perbuatan yang tidak bermoral di jalan raya adalah perkara biasa di Indonesia terutamanya di kawasan pendalaman. Pelakunya sentiasa terlepas dari sebarang dakwaan jenayah. 


    from The Reporter http://ift.tt/2iUXESL
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment