Taliban dilaporkan telah menggantung beberapa mayat individu yang didakwa penculik di bandar Afghanistan setelah berjaya ditewaskan semasa kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis, menurut saksi.
Wazir Ahmad Seddiqi, yang mengendalikan sebuah farmasi di Herat berkata, empat mayat berkenaan dibawa ke dataran dan digantung pada kren. Tiga mayat yang lain dipindahkan ke dataran lain di bandar barat Afghanistan untuk dipamerkan kepada umum.
Taliban mendakwa, keempat-empat mereka ditangkap kerana terlibat dalam penculikan seorang peniaga dan anaknya pada Sabtu lalu, kemudian dibunuh oleh polis dalam kejadian tembak-menembak.
Mayat penculik dipamerkan di beberapa kawasan awam pada hari yang sama untuk memberi peringatan dan pengajaran kepada orang ramai bahawa kegiatan penculikan tidak akan dimaafkan.
Gambar-gambar yang mengerikan itu kemudian tersebar di media sosial yang menunjukkan mayat penculik digantung di kren sambil diperhatikan sekumpulan orang dari bawah dan bangunan berhampiran. Papan tanda yang digantungkan pada mayat tertera, "Penculik akan dihukum seperti ini".
Timbalan Gabenor Herat, Mawlawi Shir Ahmad Mujahir berkata, "Kami adalah negara Islam. Tiada sesiapa yang patut mengancam negara kami. Tiada seesiapa yang patut diculik".
Mujahir menambah, sebelum kejadian itu, terdapat kes penculikan lain di bandar yang sama dan Taliban telah berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki. Seorang penculik terbunuh dan tiga yang lain ditangkap.
"Sebagai pengajaran, kami menggantung mayat penculik di dataran dengan mesej jelas bahawa sesiapa saja yang mencuri atau menculik, atau melakukan sebarang ancaman terhadap orang kami akan dihukum," katanya.
Sumber: Daily Mail
from The Reporter https://ift.tt/2Y9gsWJ
via IFTTT
No comments:
Post a Comment