loading...
  • Breaking News

    Thursday, May 19, 2022

    Altantuya pernah beritahu polis, cari Razak Baginda jika ada sesuatu berlaku padanya



    Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa wanita warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu pernah membuat laporan polis menyatakan 'sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, cari Razak Baginda', hari yang sama wanita itu hilang hampir 16 tahun lepas.


    Supt Tonny Anak Lunggan, 42, pegawai penyiasat dalam kes bunuh wanita itu berkata pada 3 Nov 2016 dia dihubungi melalui telefon oleh DSP Gan Tack Guan memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh Altantuya di Balai Polis Tun H.S. Lee pada 1.08 tengah hari, 19 Okt 2006.


    "Saya telah menyemak laporan polis itu melalui Police Reporting System (PRS) dan mencetaknya keluar. Saya dapati adalah benar bahawa laporan polis itu dibuat oleh Altantuya dan memaklumkan kepada DSP Gan dan Supt Zainol Samah mengenai laporan polis tersebut.


    "Saya ingat satu perkara yang amat jelas. Altantuya nyatakan dalam laporan itu sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, cari Razak Baginda (penganalisis politik Abdul Razak Baginda)," kata saksi ke-26 itu ketika membacakan pernyataan saksinya.


    Dia berkata demikian pada prosiding kes saman RM100 juta difailkan bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev Shaariibuu dan keluarganya terhadap dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.


    Kepada soalan peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo, saksi itu berkata Inspektor Zamilah Mamat telah ditugaskan sebagai pegawai penyiasat untuk menyiasat laporan polis tersebut, namun dia tidak sempat mengambil keterangan daripada mendiang Altantuya.


    Tonny, yang kini bertugas di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman berkata adalah penting untuk siasatan dibuat terhadap laporan polis itu kerana ia dibuat oleh si mati dan berkait langsung dengan kehilangannya.


    "Tambahan pula, laporan itu dibuat pada hari sama dengan kehilangannya (19 Okt 2006).


    “Walaupun saya bukan pegawai penyiasat bagi laporan itu, saya masih mengambil kira laporan tersebut kerana berkait terus dengan siasatan saya khususnya terhadap laporan Namiraa Gerelmaa mengenai kehilangan rakannya (Altantuya),” katanya.


    Menurut Tonny, kandungan laporan polis Namiraa menyatakan bahawa pada 19 Okt 2006, pada tujuh malam, semasa dia dan Altantuya berada di sebuah hotel, Altantuya telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memberitahu Altantuya bahawa suaminya meminta lelaki itu menjemput Altantuya pergi ke sebuah rumah di Damansara Heights.


    "Kira-kira lapan malam, Altantuya kemudiannya menghubungi Namiraa dan menyatakan dia sudah sampai di rumah suaminya bernama Abdul Razak Abdullah Baginda.


    Namiraa menyatakan bahawa dia telah cuba menghubungi rakannya itu, namun gagal. Dia membuat laporan polis kerana takut terjadi apa-apa hal keselamatan terhadap rakannya itu," katanya.


    Tonny berkata berdasarkan siasatan serta kandungan laporan polis tersebut, DSP Gan telah mengarahkan ASP Lim Meng Seah untuk menangkap Abdul Razak dan lelaki itu kemudian ditangkap pada 7 Nov 2006.


    Sementara itu, Tonny berkata Abdul Razak juga telah membuat laporan polis pada 23 Okt 2006 berkenaan ugutan oleh Altantuya, yang juga dikenali sebagai Amina pada 17 Okt dan laporan berhubung gangguan daripada seorang lelaki serta dua perempuan warga asing, yang dibuat pada 20 Okt tahun sama.


    Ditanya Sangeet adakah saksi itu tahu mengapa laporan polis tersebut dibuat tujuh hari selepas Altantuya pergi ke rumah Abdul Razak pada 17 Okt, Tony menjawab, dia tidak tahu kenapa laporan oleh Abdul Razak dibuat lewat dan dia tidak diberi penerangan berhubung perkara itu.


    Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta terhadap dua bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.


    Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.


    Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.


    Perbicaraan di hadapan hakim Vazeer Alam Mydin Meera bersambung esok.


    Sumber: Bernama



    from The Reporter https://ift.tt/udiO0vb
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment