Tajuddin | Foto MCI |
Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman menegaskan dirinya layak menggalas tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia kerana beliau mempunyai pengalaman dalam sektor korporat dan politik.
Tajuddin menyifatkan orang ramai yang mengkritik perlantikannya itu adalah kerana tidak mengetahui latar belakangnya yang merupakan ahli perniagaan dan ahli politik sejak berusia 25 tahun.
"Mereka kata saya tiada kualiti (sebagai duta) sedangkan mereka tidak tahu pun latar belakang saya. Saya masuk dunia perniagaan ketika berusia 25 tahun, begitu juga politik. Saya ada lebih 40 tahun pengalaman untuk dua bidang itu.
"Dalam politik, saya menjadi wakil rakyat ketika berusia 56 tahun iaitu pada tahun 2004 sebagai ADUN. Umur yang saya kira cukup matang untuk seorang pemimpin sebelum tiga penggal lagi sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2008," katanya.
Bagi Tajuddin, perlantikannya itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ia bukan perkara baharu dan telah diamalkan sebelum ini.
"Ada negara yang lantikan dutanya bukan dalam kalangan pegawai tadbir diplomatik (PTD), ada antara mereka ahli politik atau tokoh korporat. Ini pernah berlaku, tetapi kenapa sekarang pula dipertikaikan? Itu (lantikan duta) terpulang kepada Perdana Menteri dan perlu mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong," katanya.
Dalam pada itu, Tajuddin juga menyifatkan kritikan orang ramai yang mendakwa dia tidak layak menjawat jawatan duta disebabkan kelantangannya, sebagai tindakan yang tidak profesional.
"Kalau hendak menyerang, seranglah atas dasar individu itu tidak ada kelulusan atau pengalaman, individu itu pencuri atau penyamun. Ini serangan peribadi kerana bersuara lantang. Apa masalah saya lantang? Adakah ini profesional atau tidak?
"Keras pun salah, lemah pun salah. Kita keras dan lembut pada masa dan tempatnya. Itu pegangan saya. Saya tak boleh lembut sepanjang masa, ada masa saya kena tegas," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
from The Reporter https://ift.tt/grB0mZx
via IFTTT
No comments:
Post a Comment