loading...
  • Breaking News

    Saturday, May 28, 2022

    'Saya tak pecat Zuraida, dia masih lagi menteri kabinet' - PM

    Foto The Star


    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata Datuk Zuraida Kamaruddin masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa, selagi beliau (Ismail Sabri) tidak membuat keputusan.


    Ismail Sabri berkata, Zuraida boleh menghadiri mesyuarat Kabinet terdekat kerana kedudukannya sebagai menteri Kabinet akan diputuskan selepas mereka bertemu kelak, bagi membolehkan beliau mendapat pencerahan mengenainya.


    "Saya tak pecat, dia masih menteri Kabinet sehingga mesyuarat (Kabinet) Rabu ini," katanya kepada wartawan Malaysia di Tokyo pada Sabtu, di akhir lawatan kerja rasminya ke Jepun.


    Pada 26 Mei (Khamis) ketika Ismail Sabri berada di Jepun untuk lawatan kerja rasminya, media di Malaysia melaporkan Zuraida mengumumkan keputusannya meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, serta meninggalkan parti Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).


    Zuraida juga dilaporkan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri dan dilaporkan akan berjumpa Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri.


    Ismail Sabri berkata beliau hanya mengetahui mengenai isu Zuraida melalui liputan media, dan Zuraida masih belum menghubunginya sehingga kini.


    "Sebelum dia hubungi, jumpa saya, dia (Zuraida) masih menteri, sebab dia kata dia akan jumpa saya dan berbincang dengan saya. Jadi tunggu saya balik dulu, dia bincang dengan saya, baru kita buat keputusan," katanya.


    Ismail Sabri berkata beliau menghormati pelbagai pandangan berhubung Zuraida, namun keputusan akhir mengenai kedudukan Zuraida masih terletak pada perdana menteri.


    Ditanya jika beliau akan menerima peletakan jawatan Zuraida selepas mereka bertemu kelak, Ismail Sabri berkata: "Saya tak nak cakap pasal 'jika' ini. Kita seberangi jambatan, baru kita buat keputusan. Sekarang jambatan pun tak nampak lagi."


    Ismail Sabri juga berkata sebarang perubahan pada Kabinet perlu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.


    "Kalau ada pelantikan baharu, angkat sumpah, ia bukan satu perkara yang mudah. Saya mesti menghormati Agong," katanya.


    Ditanya adakah Kabinet pimpinannya masih utuh dengan tindakan Zuraida, Ismail Sabri berkata: "Tiada isu sangat."


    Menurutnya pandangan 'orang luar' mungkin menyangka Kabinet hari ini 'kelam kabut' kerana dianggotai pelbagai parti, namun sebenarnya anggota Kabinet sekarang akan meninggalkan segala perbezaan politik ketika membuat keputusan demi kepentingan negara.


    "Bila masuk Kabinet, kita tinggalkan perbezaan contohnya di (pilihan raya negeri) Johor dan Melaka, kita tak bawa pun dalam Kabinet. Fokus kita dalam Kabinet adalah untuk kepentingan negara dan rakyat tanpa mengira parti mana, kita buat keputusan secara bersama," katanya.


    Sumber: Bernama



    from The Reporter https://ift.tt/rkBDaVn
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment