Baru-baru ini tular gambar dokumen aku janji calon UMNO yang dikehendaki bersetuju dengan syarat untuk menyokong Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri sekiranya BN menang Pilihan Raya Utama Ke 15 (PRU15), sekali gus mengenepikan janji sebelum ini yang mahu terus mengekalkan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Selain itu, turut ternyata dalam dokumen itu ikrar untuk menghentikan semua siasatan terhadap pemimpin parti dan menyokong pembentukan kerajaan dengan mana-mana parti lain.
Bagaimanapun, Zahid menafikan dakwaan itu dan mendakwa gambar surat yang tular itu adalah palsu dalam cubaan untuk memfitnah dan mengelirukan rakyat.
"Fitnah terbaru lawan BN ini menjadi bukti jelas lagi kukuh mengapa rakyat perlu menolak mereka dan pastikan mereka (pembangkang) ini tidak menang apatah menjadi kerajaan semula," katanya.
Ekoran itu, seorang wakil UMNO telah tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ahmad Maslan dan Khairy Jamaluddin turut menafikan dakwaan itu yang disifatkan berniat jahat untuk memburukkan imej UMNO/BN.
"Itu tak betul, tiada langsung perkataan itu. Itu adalah fitnah. Hendak sebut untuk lepaskan dari mahkamah juga adalah fitnah," katanya.
Khairy pula menjelaskan, keputusan mengekalkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri juga masih kekal dan dokumen aku janji yang ditandatanganinya hanya berkaitan dengan lompat parti dan kesetiaan kepada parti.
"Aku janji yang tular itu memang tak betul. Saya calon BN. Aku janji yang kononnya ditandatangani Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah di atas 'letter head' atau kepala surat UMNO adalah tidak benar," katanya.
Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung penularan dokumen aku janji itu di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.
Beberapa individu berkaitan juga akan dipanggil untuk membantu siasatan, termasuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beberapa hari sebelum ini, tular di media sosial juga di mana Zahid ketika ditemubual oleh wartawan asing mengatakan sekiranya BN menang PRU15, nama Ismail Sabri dan beberapa calon Perdana Menteri yang lain akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk diperkenan.
Apabila ditanya sama ada Zahid akan mencalonkan nama dirinya sebagai Perdana Menteri, Zahid membalas soalan itu tidak wajar dan menolak untuk menjawabnya sebelum beredar meninggalkan wartawan itu.
Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini
from The Reporter https://ift.tt/m3CpDrJ
via IFTTT
No comments:
Post a Comment