Petang tadi, saya ajak isteri dan anak menziarahi penghuni syurga. Tiga tahun berlalu, masih segar dalam ingatan kami. Saya cakap kepada anak,
"Ini abang awak. Dia sekarang penghuni syurga."
Saya sebut nama anak syurga ini, anak ikut sama. Saya cabut rumput, betulkan tanah, dia ikut sama.
Saya selalu cakap kepada isteri, terima kasih jaga anak siang malam tanpa sedikit pun mengeluh. Satu tahun empat bulan tidur-tidur ayam. Hari dan minggu pertama berpantang terpaksa ulang alik ke hospital. Allahu, saat akhir kami berjuang susukan anak (di Facebook lama saya ada tulis perjalanan anak kami). Sekarang tidak mampu untuk menulis lagi.
Masih segar dalam ingatan saya, keadaan isteri pada malam pertama kematian anak. Isteri peluk bantal, sangkakan itu anak kami. Menangis siang malam rindukan anak. Saya saban hari bersama isteri, sentiasa ungkap perkataan:
"Redha di atas kematian anak Allah bina istana di syurga.."
Tuan-tuan yang disayangi dan dicintai Allah, hargai isteri, sayangi mereka, betulkan kesilapan mereka dengan penuh lemah lembut, kasih sayang. Bagi sepenuh perhatian di saat mereka mengeluh, mengadu. Mereka siang malam menjaga anak kita, jaga makan minum, pakaian kita. Jangan melihat kekurangan mereka, lihat betapa banyak jasa mereka kepada kita.
Fizikal mereka tidak mampu melawan kekuatan kita. Tetapi jiwa mereka hanya Allah lebih mengetahui saat mereka melahirkan anak, saat pertama menyusukan anak. Tiada siapa lagi untuk didik dan bimbing mereka selain kita. Bawalah mereka masuk ke syurga bersama.
Peluklah mereka di saat mereka sedang berduka, pimpinlah mereka di saat mereka jauh dengan Allah. Setiap pelukan buatkan rahmat Allah mencurah-curah dalam keluarga kita. Pelukkan suami membuatkan isteri sihat dan bahagia.
Jangan tengking mereka, jangan pukul mereka. Jangan sesekali. Mereka perlukan kita di saat emosi mereka sedang bercelaru.
Puan-puan, taatlah pada suami, jaga aib suami. Doa siang malam untuk suami. Jangan bandingkan suami kita dengan suami orang lain. Jangan sedikit pun cerita kelemahan suami di Facebook. Setiap hari puji suami, senyum kepada suami, sediakan makan minum yang terbaik untuk suami, jaga makan minum pakaian suami kerana Allah. Sentiasa ucap terima kasih kepada suami. Sabar dengan karenah suami kerana Allah.
Tuan puan. solat dua rakaat setiap hari. Minta Allah bahagiakan kita suami isteri. Sama-sama baca Al-Quran, sama-sama betulkan bacaan, sama-sama baca hadith, kisah sahabt, sama-sama membimbing anak untuk mengenali Allah dan Rasul. Percayalah, bahagia apabila kita sama-sama mengenal Allah dan Rasul.
Diri, masa, harta dan keluarga bukan milik kita. Semuanya milik Allah. Serah segala-galanya kepada Allah, moga Allah menerima doa kita.
from The Reporter http://ift.tt/2qsLp1r
via IFTTT
No comments:
Post a Comment