Kisah seorang remaja lelaki yang menikmati mi segera dalam gayung plastik yang diambilnya dari kolah dekat Masjid Besar, Pasir Puteh, Kelantan meruntun hati netizen di Facebook.
Sekeping gambar yang menceritakan segalanya itu dikongsi dalam laman Facebook, Raja Shamri Raja Husin yang juga pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ThirdForce baru-baru ini.
Menurut Raja Shamri, pengalaman tersebut dikongsi salah seorang sukarelawan ThirdForce yang dikenali sebagai Adi selepas selesai menunaikan solat asar di masjid tersebut.
Beliau berkata, keperitan yang dilalui remaja lelaki itu menggambarkan hakikat sebenar kehidupan rakyat 'terbawah' di negara ini.
"Sambil berjalan di tepi masjid tiba-tiba ternampak seorang budak lelaki sedang duduk sambil minum air dalam bekas plastik kolah masjid.
"Ingatkan minum air rupa-rupanya budak itu sedang makan maggie dalam bekas tersebut. Saya tanya kenapa tak masak makan di rumah. Dia diam sambil tertunduk.
"Saya tanya dah makan nasi ke belum? Jawabnya tak makan lagi dari pagi masa sesi persekolahan lagi. Ntah dia dapat maggie dari mana pun saya tak tahu. Katanya dia ke masjid untuk solat dan kerana di situ disediakan mesin air sejuk dan panas," demikian menurut posting tersebut.
Menurut posting itu lagi, remaja lelaki itu tetap menghirup kuah mi segera dalam bekas plastik tersebut walaupun masih panas.
"Nampak sangat kelaparan sungguh budak ini. Sebelum meninggalkannya, saya tinggalkan RM10 untuk dia beli nasi bawa balik rumah.
"Dia terima duit tu sambil bergenang air mata seperti ingin memberitahu sesuatu. Katanya dia anak sulung daripada empat beradik dari keluarga susah," tulisnya.
Posting tersebut dikongsi sebanyak 271 kali di Facebook dan mendapat pelbagai reaksi di kalangan netizen.
Malah, ada di antara mereka berharap agar lebih ramai insan berhati mulia membantu remaja lelaki itu.
@Nik Azniza berkata:" Sedihnya. Hari ini pasar khamis kan? Mesti ramai orang kat kawasan masjid tu. Semoga ada lagi insan yang pemurah dapat tolong adik ni."
@Yusnita Md Yunos berkata: "Allahuakhbar. Subhanallah... Tuan terpilih menyaksikan semua ini dengan mata sendiri. Semoga Allah permudahkan urusan tuan dan urusan adik ini sekeluarga."
@Zali Yusof berkata: "Allahurrabbi... semoga adik diberi kejayaan di dunia dan akhirat serta sentiasa dalam rahmat Allah SWT."
Sumber: mStar
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2wEneEC
via IFTTT
No comments:
Post a Comment