"Jangan sampai kerana kerja, anak kita kena sawan (dek demam panas) di sekolah," demikian kata guru lelaki ini yang kesal ada sesetengah ibu bapa yang lebih mengutamakan kerja dari anak mereka yang tidak sihat dan tetap dihantar ke sekolah.
Tidak dinafikan, ibu bapa berhempas pulas mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarga. Namun, perlu difahami juga bahawa guru-guru mempunyai tugas mereka untuk mendidik anak-anak yang lain. Justeru, mereka tidak dapat memberi perhatian yang sepenuhnya kepada anak yang tidak sihat.
Oleh itu, jangan anggap sekolah sebagai taska dan jangan anggap guru sebagai pengasuh kepada anak-anak kita. Hormatilah mereka sebagai pendidik anak kita dan kekalkan begitu sehingga bila-bila. Kesihatan anak adalah tanggungjawab ibu bapa, guru hanya membantu sekadar yang termampu sahaja.
BILA ANAK TAK SIHAT
"Kenapa awak monyok saja ni. Tak sihat ke?" tegurku pada seorang murid perempuan yang kelihatan tidak bermaya.
Dia diam tanpa menjawab. Namun riak wajah dan kelopak mata yang kuyu itu menjelaskan situasi dia. Terus aku menuju ke meja dan memegang dahi. Allah, panas betul. Terus aku pimpin ke bilik air dan basuh kepala dia. Panas sebegini boleh membawa implikasi yang teruk pada budak usia bawah 10 tahun. Silap-silap boleh sawan atau lebih teruk lagi boleh merosakkan otak.
Selepas membasahkan kepalanya, aku terus bawa murid berkenaan ke pejabat. Masuk bilik PK Petang, cari 'cool fever'. Tampal di dahi dan cepat-cepat aku menghubungi mak dan ayahnya. Sejam kemudian, mak dan ayahnya sampai. Terus aku suruh bawa pergi ke hospital. Namun sempat jua aku bertanya,
"Kenapa abang hantar anak ke sekolah walau dia demam?"
"Saya kerja cikgu. Kalau tak hantar ke sekolah, saya kena ambil cuti. Cuti dah tak banyak ni," jawabnya.
Aku diam saja. Namun di hati tidak rela. Kesihatan anak diperjudi semata-mata kerana kerja. Paling aku geram, dah tahu anak demam sepatutnya maklumkan pada guru kelas. Biar guru tahu dan sedar dan sekurang-kurangnya ada pemantauan lebih sikit dari guru.
Pergilah pejabat sekejap, lepas punch in cakaplah elok-elok dengan boss nak bawa anak ke hospital. Itu kalau jenis sayangkan kerja melebihi anaklah. Seeloknya, ambil saja cuti. Jaga dan bawa anak ke hospital. Demam panas bukan boleh buat bergurau bang. Silap-silap boleh cacat otak. Nauzubillah.
Kisah yang aku tulis ini berlaku beberapa tahun dulu. Dan hal begini berlaku berkali-kali dalam setahun. Anak yang sakit dipaksa pergi ke sekolah dengan alasan tiada orang nak jaga sedangkan ibu bapa kerja.
Apa kau ingat guru ini doktor? Kami tak boleh nak pandai-pandai bagi ubat waima sebiji panadol. Tidak boleh kerana kami bukan pegawai kesihatan. Kami bukan pengasuh yang boleh tengok dan pantau anak kau setiap masa. Kami perlu bergerak dari kelas ke kelas. Kami perlu mengelola pelbagai aktiviti dan program. Tidak boleh tercongok macam pengasuh nak jaga anak kau bang. Seribu lebih lagi murid lain perlu kami jaga.
Maka bila berlaku kejadian begini, guru biasanya basahkan kepala murid dengan air dan tampal 'cool fever'. Selepas itu, murid ini akan dibawa ke bilik guru dan diminta berehat di meja guru. Guru-guru lain dipesan untuk tengok-tengokkan murid bila guru itu terpaksa masuk kelas lain, pergi solat dan sebagainya. Begitulah kebiasaannya.
Nak tinggalkan di bilik rawatan, siapa nak jaga? Nak tinggal di kelas, lagi tak boleh.
Jadi para guru terpaksa menjaga murid itu bergilir-gilir mengikut masa yang mereka 'free' sementara menunggu waris tiba. Lebih menyedihkan, ada ibu bapa tidak menjawab panggilan telefon walau berpuluh kali cuba dihubungi.
Utamakanlah kesihatan anak-anak. Jangan anggap sekolah itu nursery. Jangan buat cikgu-cikgu itu macam bibik. Jangan harapkan cikgu yang akan bawa anak kita ke hospital. Cikgu-cikgu pun ada banyak tugas lain yang perlu diselesaikan. Ada beribu lagi murid yang perlu diberi perhatian.
Anak kita tanggungjawab kitalah. Jangan sampai kerana kerja, anak kita kena sawan dan boleh menyebabkan terencat akal. Nauzubillah. Beringatlah sebelum terkena.
Sumber: Mohd Fadli Salleh
from The Reporter http://ift.tt/2fu41er
via IFTTT
No comments:
Post a Comment