loading...
  • Breaking News

    Saturday, September 30, 2017

    'Mak Kena Tikam!' - Surirumah Mati Dibunuh Penyamun


    KUANTAN, PAHANG - Seorang surirumah ditemui mati dengan kesan tikaman di perut dan dada, dipercayai dibunuh di rumahnya, hari ini, lapor Harian Metro. 

    Dalam kejadian jam 8 pagi di rumahnya di Kampung Hijrah, Penor, mangsa, Norhasilah Ismail, 34, dikatakan baru pulang dari menghantar dua anaknya ke sekolah sebelum menyedari rumah mereka dipecah masuk seorang lelaki dipercayai ingin menyamun. 

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, ketika kejadian itu berlaku, anak lelaki mangsa berusia empat tahun dikurung oleh suspek di dalam bilik. 

    "Berlaku pergelutan di antara mangsa dengan suspek menyebabkan mangsa ditikam di perut sebelah kanan dan dada sebelah kiri menggunakan senjata tajam. 


    "Mangsa ditemui oleh suaminya yang baru pulang dari kerja pada jam 12.30 tengah hari di ruang tamu rumah mereka. Siasatan masih dilakukan mengenai motif kejadian dan kami tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan samun. 

    "Kerugian dan barang yang hilang masih lagi disiasat polis bersama pasukan forensik dan unit anjing pengesan K9," katanya. 

    Anak lelaki mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan ketika kejadian, suspek dilaporkan memakai topeng. 


    Abdul Aziz berkata, pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah mangsa bagi memburu suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jenazah mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat. 


    Sementara itu, anak mangsa, Mohd Aqil Nasrul, 4, menjerit "Mak kena tikam, mak kena tikam," kepada abangnya, Mohd Abid, 8, mengenai kejadian yang menimpa ibu mereka. 

    Menurut Mohd Abid, anak kedua dari tiga beradik itu memberitahu ketika kejadian itu, dia baru pulang dari sekolah bersama bapanya, ternampak adiknya dari tepi tingkap bilik menjerit memaklumkan kejadian sebelum dia bergegas masuk ke dalam rumah. 

    "Saya tengok adik pucat, minta tolong. Dia menjerit beritahu mak ditikam," katanya. 

    Sebaik saja masuk ke dalam rumah, Mohd Abid membuka pintu bilik di mana tempat adiknya dikurung dan terkejut apabila mendapati apa yang diberitahu adiknya itu adalah benar sebelum memaklumkan kepada bapa mereka, Nasrul Mansor, 32. 

    Sumber: The Reporter


    from Sehinggit Media News http://ift.tt/2fYaxdZ
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment