loading...
  • Breaking News

    Monday, October 2, 2017

    Mangsa Penipuan Expo Kerjaya, Sila Tampil Buat Aduan - PPIM

    PETALING JAYA: Orang ramai yang mendakwa sebagai mangsa penipuan penganjuran Expo Kerjaya Terbesar Zon Utara 2017 di Alor Setar, Kedah hujung minggu lalu perlu tampil membuat aduan bagi membolehkan tindakan susulan diambil terhadap pihak terlibat.

    Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, buat masa ini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan mengenai insiden itu.

    "Setakat ini tak ada (aduan)... tapi kes lain memang banyak. Mungkin isu ini berlaku di utara, belum sampai lagi ke sini.

    "Sudah tentu kita mengalu-alukan aduan seperti ini. PPIM sedia membantu. Kita harap sesiapa yang ada maklumat atau mereka yang menjadi mangsa tampil buat aduan kepada kita," katanya ketika dihubungi mStar Online.

    Beliau berkata, orang ramai boleh membuat aduan menerusi pautan yang disediakan di laman web www.ppim.org.my.

    "Sekarang nak buat aduan pun senang, orang ramai boleh buat secara dalam talian. InsyaAllah kita akan cuba bantu selepas meneliti aduan tersebut," katanya.

    Pada masa sama, beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan supaya menyemak latar belakang syarikat penganjur terlebih dahulu sebelum meluluskan permit penganjuran karnival atau ekpo.


    "Mereka tak boleh ambil mudah kerana zaman sekarang kes penipuan terlalu dahsyat. Kita hari-hari dapat aduan kes penipuan yang kita lihat semakin menjadi-jadi. Penipu pula mengambil kesempatan atas kejahilan pengguna.

    Orang ramai beratur untuk menghadiri ekpo tersebut pada Sabtu lalu.

    "Jadi saya rasa pihak berkuasa tidak boleh sekadar bertindak dengan hanya tunggu aduan semata-mata. Mereka kena lebih waspada sebelum meluluskan sesuatu permit," katanya.

    Malah, beliau berkata pihak berkuasa perlu mewujudkan kaedah baharu dalam menangani gelaja penipuan yang semakin meruncing ketika ini.

    "Kita kena ada kaedah baharu... tak boleh ditakuk yang lama. Pihak berkuasa kena lebih agresif dan kementerian berkaitan perlu memantau, bukan sekadar bertindak apabila menerima aduan," katanya.

    Pada Ahad, netizen menyarankan agar PPIM campur tangan dalam insiden tersebut.

    Rata-rata graduan yang hadir mendakwa didakwa ditipu penganjur expo kerjaya yang menawarkan lebih 5,000 jawatan dari syarikat terkemuka negara itu yang berlangsung selama dua hari di Alor Setar, Kedah.

    Kes tersebut menjadi tular selepas seorang gadis mendedahkan pengalamannya umpama indah khabar dari rupa semasa menghadiri ekpo tersebut.

    Gadis yang hanya ingin dikenali sebagai Awin mendakwa kunjungannya ke expo sebenarnya sesuatu yang sia-sia dan tidak seperti yang diharapkan.

    Susulan dikecam netizen, Jobsifu.com Malaysia selaku penganjur ekpo tersebut menutup laman Facebooknya.

    Malah lebih teruk, laman Facebook itu turut ditukar nama kepada Cuti Cuti Malaysia.

    Sumber: Mstar Online


    from Sehinggit Media News http://ift.tt/2yD7wXd
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment