Orang tua-tua selalu berpesan, jangan bawa anak kecil keluar rumah bila hari sudah senja atau dekat waktu maghrib kerana bimbang ada diganggu 'sesuatu'. Dalam perkongsian Puan Sarah Hussin, bayi perempuannya, Safiyyah diganggu 'sesuatu' ketika tidur. Puas dipujuk oleh ibu dan ahli keluarga yang lain, tiada satu pun yang dapat meredakan tangisannya sehinggalah dibawa berubat.
ASSALAMUALAIKUM ibu-ibu semua. Ini kes anak saya, Safiyyah, beberapa bulan lepas. Semoga menjadi iktibar untuk kita semua.
Masa kejadian, Safiyyah tidur jam 8 malam. Selepas menidurkan anak, saya terus pergi ke dapur untuk makan. Baru saja nak suapkan nasi ke mulut, Safiyyah sudah merengek, kemudian menangis. Terus saya pergi mendapatkan dia. Masa itu Safiyyah menangis tak buka mata, dalam hati sudah terdetik mesti ada sesuatu yang tak kena.
Safiyyah menangis dengan kuat pada masa itu. Dari saya cuba dukung, beralih ke suami, sehingga abang Iman agah-agah pun tak jalan juga. Dari jam 8.30 malam hingga 10 malam berterusan menangis.
Pada mulanya saya syak Safiyyah mungkin menangis disebabkan kembut perut. Disapu minyak angin di bahagian perut, kaki, betis dan tapak tangan. Tetapi Safiyyah masih begitu juga dan semakin kuat pula tangisannya.
Apa yang saya perasan pada masa itu, Safiyyah menangis dalam tidur, tanpa membuka mata. Bila saya cuba kejutkan dia, dia buka mata kemudian matanya ditutup semula. Ibarat Safiyyah mengantuk sangat-sangat.
Disebabkan kami semua sudah buntu pada masa itu, Rafi terus menghubungi mak dia dan ajak pergi berubat. Jam 10.30 malam, lalu di tempat yang agak gelap. Sepanjang jalan buka ayat Al-Quran. Tetapi semasa Safiyyah berada di dalam kereta, dia tak menangis pun, elok saja tidurnya.
Sampai di rumah Pakcik Hussin, baca ayat Al-Quran. Disapu badan Safiyyah dengan air yang dibacakan itu. Safiyyah memang sudah tidak menangis lagi.
Menurut Pakcik Hussin, ada 'orang' tarik-tarik kaki Safiyyah. Patutlah Safiyyah menangis tetapi kaki dia macam menendang-nendang seperti ada sesuatu di kakinya. Semasa saya pegang kaki Safiyyah pun tendang-tendang tangan saya.
Dalam otak terus terfikir, apalah yang saya sudah buat sehingga menyebabkan Safiyyah menjadi begitu? Baru saya teringat yang hari itu adalah hari Khamis, malam Jumaat. Saya ada bawa Safiyyah berjalan-jalan di depan rumah. Masa itu hari tak elok, nak hujan dan angin kuat. Selepas itu abang Iman ajak main pop-pop di luar.
Semasa Iman bermain itu, jam 6.30 petang dan angin kuat. Saya leka duduk di luar rumah dengan angin yang kuat. Maafkan mama, Safiyyah. Semasa menidurkan Safiyyah, saya lupa nak pasang ayat Al-Quran di sebelahnya. Rasa hari itu banyak sangat leka sampai semua benda terlupa nak buat. Maafkan mama Safiyyah.
Sebelum pulang, Pakcik Hussin berpesan yang 'benda' itu sudah tak ada tetapi dia tidak jamin kalau dalam perjalanan pulang nanti 'benda' itu datang balik. Berderau darah saya mendengar kata-katanya itu.
Selepas pulang, Safiyyah okey sahaja, dia menyusu sehingga tertidur. Tetapi pada jam 1 pagi, Safiyyah menangis lagi, sama seperti kejadian awal tadi. Terus rasa seperti nak menangis pada masa itu. Banyak salah yang saya buat hari ini sehingga Safiyyah jadi begitu. Saya terus ambil air yang diberi oleh Pakcik Hussin dan usap pada muka Safiyyah sambil selawat dan meminta perlindungan Allah. Alhamdulillah Safiyyah menangis sekejap sahaja.
Semenjak dari peristiwa itu, saya memang tak bawa Safiyyah berjalan ke mana-mana lagi selepas jam 6 petang. Tepat jam 6.30 petang, pintu dan tingkap wajib ditutup. Saya tidak mahu kejadian yang sama berulang.
Dan bila difikir-fikirkan, mungkin inilah yang selalu disebut-sebut orang iaitu Ummu Syibyan. Selama ini selalu baca tentang Ummu Syibyan tetapi tidak sangka boleh terkena pada Safiyyah. Memang kena ambil langkah berhati-hati selepas ini.
1. Lafazkan ASSALAMUALAIKUM DAN BISMALLAH sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Begitu juga ketika menutup pintu apabila keluar dari rumah sebab syaitan yang memecahbelahkan keamanan keluarga sentiasa menunggu peluang untuk masuk ke kediaman kita.
Lebih bagus bagi salam setiap kali masuk ke mana-mana pintu kecuali bilik air sebab itu adalah tempat lepak syaitan. Jadi tak perlu beri salam, cuma kena baca doa meminta Allah melindungi kita dari gangguan syaitan.
2. Lazimi membaca dan memasang ayat suci Al-Quran dalam rumah.
3. Gunakan semua bilik yang ada dalam rumah. Jangan biar satu bilik kosong lama-lama.
4. Tutup tong sampah dan jangan biarkan sampah berterabur terutamanya tulang temulang sebab itu adalah makanan jin.
5. Sebelum maghrib, tutup semua pintu dan tingkap. Malam-malam elakkan buka pintu atau tingkap sebab angin malam tidak elok untuk tubuh badan. Kebiasaannya sihir dihantar menggunakan jin dan angin merupakan kenderaan jin.
6. Angkat pakaian di ampaian sebelum maghrib. Ini semua ada kaitan dengan sihir melalui angin. Sebab itu sesetengah alim ulama akan membasuh semula pakaian yang terdampar dpada waktu maghrib ke atas.
7. Kalau orang yang sedang tidur mengigau, sentuh dan kejutkan dia. Kejut dengan lembut, jangan secara kasar.
8. Tidur dalam keadaan mengiring ke kanan. Kalau tidur terlentang, letak bantal atas badan. Orang perempuan bila tidur, rambut kena letak bawah kepala, jangan lepaskan ke atas bantal.
9. Bagi rumah yang pintu-pintunya berhadapan dengan pintu-pintu lain, tutup salah satu pintu dan buka salah satu. Sebab pintu-pintu yang saling berhadapan boleh menjadi laluan makhluk halus. Kalau terlupa bagi salam semasa masuk rumah, keluar semula dan masuk balik dengan memberi salam.
10. Elakkan ketawa dan bersedih berlebihan.
11. 'Pagar' rumah setiap hari, baca ayat kursi dengan tujuh tempat wakaf dan tiup pada setiap penjuru bilik. Selalu baca surah Al-Baqarah.
12. Selalu alihkan barang-barang dalam rumah. Jaga suasana baik dalam rumah. Jangan buat perkara lalai sebab perkara-perkara seperti ini yang menarik perhatian makhluk halus.
Semoga Allah SWT melindungi kita semua dari gangguan syaitan laknatullah. Semoga menjadi iktibar pada kita semua.
Sumber: Sarah Hussin
from The Reporter http://ift.tt/2xHFJoB
via IFTTT
No comments:
Post a Comment