loading...
  • Breaking News

    Wednesday, November 15, 2017

    “Saya Orang Susah. Kawan TLDM Ramai-ramai Pungut Duit, Sebab Merekalah Saya Dapat Pergi Uji Bakat” - Kisah Ajak Ini Buat Netizan Sebak


    Jasa sahabat-sahabatnya semasa dia bertugas di TLDM akan sentiasa Ajak kenang. Kepada kami, bintang Raja Lawak ini menceritakan susah-senang masa silamnya.

    Oleh: Iqbaq V Azwan Mukhtaram 

    BAGAIMANA perjalanan Ajak bermula dalam dunia pelawak dan penghibur? 

    Percaya atau tidak, tidak pernah terlintas pada fikiran Ajak mahu berada dalam dunia hiburan, sejak berusia 18 tahun Ajak sudah menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia dan selama lapan tahun bekerja itu tidak pula ada sebarang cita-cita untuk menyertai sebarang pertandingan. Selalunya cuma berjenaka dengan teman-teman saja.

    Namun selepas melihat Man daripada Raja Lawak musim ke-5, terdetik dalam hati sendiri untuk mencuba nasib. Teman-teman banyak yang memberi kata semangat dan mahu Ajak sertai Raja Lawak, Fifa (isteri) juga sentiasa berada di sisi dan mahukan yang terbaik untuk Ajak, jadi we decided to do it.


    Apa yang paling mengesankan dalam minda apabila bicara fasal kenangan sertai Raja Lawak Musim ke-6? 

    Terlalu banyak perkara yang benar-benar terpahat dalam ingatan apabila melihat semula perjalanan kami. Ketika Ajak dan Shahrol bercadang untuk menyertai uji bakat ini, kami masih lagi bekerja dan bertugas, maka banyak tanggungjawab yang harus diadili agar tiada kerja yang tercicir.

    Kala uji bakat pertama kami hadiri, kami kena reject, lalu kami pulang ke Johor, namun Shahrol tekad mahu menyertainya dan mahu pergi sekali lagi ke Shah Alam untuk uji bakat. Malangnya kami tidak berduit. Kami tidak datang dari keluarga yang senang, jadi segala belanja harus diambil kira.

    Ajak masih ingat lagi ketika itu teman-teman di TLDM dan yang lain-lain pungut duit beramai-ramai dan mahu bikin perbelanjaan hantarkan Ajak ke Shah Alam. Kerana itulah hingga kini Ajak ingat dan sentiasa berterima kasih. Dengan wang itu kami kembali semula ke uji bakat Raja Lawak. Ajak ingat lagi menyewa hotel berharga RM60 semalam dan kerana bilik terlalu kecil, kami bertiga berlatih di bawah hotel tepi jalanan sahaja. Pelik juga kenderaan yang lalu-lalang melihat kami di tepi jalan.

    Bertiga? Ajak, Shahrol dan siapa lagi ya? 

    Ya, Shiro asalnya bertiga, mungkin ramai yang tidak tahu namun itulah sejarah kami. Pada malam terakhir sebelum kami pergi uji bakat, teman kami yang ketiga ini tidak hadirkan diri, panggilan tidak berjawab dan kami mula panik! Penat juga pusing satu Shah Alam mencarinya di gerai mamak mana tahu bertemu, namun akhirnya Ajak dan Shahrol teruskan sahaja dan rombak semula persembahan kami.

    Esoknya, kala Ajak dan Shahrol melangkah ke tangga lokasi uji bakat, kami berdua ternampak kelibat teman kami yang hilang itu. Dia melihat dari jauh. Dia mahu tarik diri namun tidak pula bilang kepada kami, mungkin tidak yakin sama Shiro. Di pentas itu kami bawa sketsa yang diinspirasikan daripada babak antara Sofea Jane dan Nasir Bilal Khan daripada filem ‘Perempuan, Isteri dan…’


    Rezeki kami cukup baik apabila Sheila Rusly gemarkan lawak kami dan beri kami pelepasan, dan the rest is history sehinggalah kami berjaya menjuarai Raja Lawak musim itu. Pasca itu ada juga teman kami itu datang cari Ajak dan Shahrol. Namun kami telah pun maafkan dia, it is time to move on and no hard feelings ya! 

    Risau? Maksudnya? 

    Benda yang sedikit dan rare itu akan sentiasa mahal, manakala apabila sudah terlalu banyak, hilanglah eksklusivitinya. Kuantiti lebih daripada kualiti. Sekiranya terlalu banyak rancangan mencungkil bakat pelawak diadakan pasti akan menjadikan industri lawak murah dan itu cukup berbahaya. Bukan mahu menutup rezeki sesiapa, cuma mahu letakkan lawak dalam kelas tersendiri. It’s good to have some,namun usahlah terlalu banyak. Lihat sahaja rancangan mencungkil bakat nyanyian yang sudah terlalu ramai sehingga ada yang payah mahu cari makan.

    Sebagai pengamal dunia hiburan kita sentiasa harus bersedia untuk jatuh, usah mendongak langit dan lupa diri. Shiro sendiri selalu beringat terutama kala membuat lawak dan menghiburkan orang, usah terlalu vokal dan menyentuh sensitiviti terlalu ramai dan sentiasa menghormati orang. Jatuh dan bangun dalam industri ini bagaikan garam dalam masakan, it is definitely needed and will happen.

    Apa yang Ajak mahukan daripada industri ini? 

    Ajak sedang mencuba pelbagai cabang. Dengan Shahrol yang kini sibuk di konti Radio Era FM, kami jarang dapat kerja bersama, namun itu rezeki dia dan Ajak bangga melihat dia sibuk. Fokus Ajak kini lebih sedikit dalam lakonan, ada beberapa tawaran yang datang dan mahu dipertimbangkan. Punya wajah sebagai aktor serius selain komedi, tidak mahu cuba?

    Ajak pernah rakamkan drama bersiri untuk tayangan Astro Oasis, terbitan Radiusone lakonan bersama Ieda Moin. Dalam drama ini Ajak bawakan watak seorang lelaki yang baran dan sentiasa naik angin, karakter yang sangat jauh daripada personaliti Ajak sendiri dan what I am known for, namun pengarah danteam banyak beri tunjuk ajar untuk Ajak belajar lagi.

    Bayangkanlah watak yang berat begini selalunya diberikan kepada aktor hebat seperti Beto Kusyairy, jadi ini cubaan Ajak. Harap sangat peminat dapat terima watak yang dipikul dan melihat sisi berbeza Ajak. Mahu cuba menjadi aktor yang lebih versatile dan akan pertimbangkan watak yang bukan sekadar komedi, namun usahlah yang terlalu berat, yang itu lebih elok dibawakan Beto, hahaha…


    ‘Wish list’ Ajak mahu berkarya sama siapa?

    Ajak lihat ramai benar aktor kita yang cukup hebat apabila berada di layar lakonan. Kadangkala tidak perlu gerakan tubuh yang banyak, sekadar penyampaian dialog yang cukup kuat dan prominent. Pastinya aktor-aktor ini kuat lakukan kajian watak untuk lebih mendalami sebuah karakter. Beto Kusyairy dan Sofi Jikan adalah antara yang Ajak kagumi bakat lakonan, punya aura, kelas tersendiri serta cukup bijak.


    Bukankah pelawak juga harus bijak dalam menjana bahan dan rutin komedi? 

    Benar, pelawak harus bijak, kerana itu kita harus rajin membaca dan menimba ilmu. Ajak sendiri banyak menelaah perihal perniagaan dan keluarga. Johan adalah antara yang Ajak rasa punya pemikiran yang geliga dan bijak, apabila berbual samanya ada masa rasa diri cukup kecil. Johan adalah seorang tahfiz Al-Quran dan sering membaca, maka banyak ilmu di dada namun cukup humble. 

    Begitu juga dengan arwah Din Beramboi, fikirannya sentiasa berputar fasal politik, sains dan perkara semasa. Itu perbezaannya antara seorang pelawak atau penghibur yang bijak dan mereka yang loyar buruk, hahaha.

    Dulu pernah terbaca gosip fasal Ajak berkelahi sama Shahrol, betulkah? 

    Ini bukanlah kali pertama Ajak terima soalan yang ini, percayalah apabila Ajak bilang kami tidak bergaduh, setakat bertengkar perihal kerja itu biasalah, kawan mana yang tidak begitu bukan? Namun tidaklah sampai tak bertegur sapa dan bermasam muka. Baru beberapa hari lepas (semasa temu bual ini dijalankan), kami berbual melalui telefon dan bertanya khabar. Mungkin ada yang tidak betah lihat Shiro elok bersama tapi it’s okay kami masih lagi berteman, usah risau. Semuanya bagai keluarga.

    Apabila dapat berkumpul sama untuk sesi sampul depan ini, dapat dilihat kemesraan alumni dunia lawak. Komen Ajak? 

    Kami sentiasa punya rasa hormat sesama sendiri. Lama atau baru, wajar ada penghormatan. Ajak sebenarnya cukup teruja apabila mendapat tahu InTrend mahu bikin satu isu komedi, majalah yang Ajak rasa sering tampilkan selebriti kelas tinggi membuka mata kepada kami, kami cukup bersyukur.

    Mulanya Ajak sangka sekadar rakaman biasa, namun apabila Atu (Zero) bilang kami bakal beraksi untuk sampul hadapan, Ajak rasa bangga namun rendah diri juga. Sudah ada Zizan dan Johan tidak perlulah bubuh Ajak pada sampul, mereka kan sudah legend? Walau apa pun, Ajak berbesar hati.


    Masih punya rasa rendah diri walau sudah menang di pentas utama? 

    Kadangkala Ajak masih lagi punya rasa kekok, terutama apabila bergaul sama mereka yang Ajak tandai level mereka sebegitu tinggi. Rasa segan itu masih ada.

    Dato’ AC Mizal ada berpesan kepada Ajak, usah terlalu merendah diri atau lekas berbangga atas pencapaian sendiri, harus bekerja keras barulah menerima balasan setimpal. Ebby Yus pun ada beri nasihat, kalau berada di pentas, lakukan kerana kerja dan buat dengan ikhlas.


    Jika Ajak bisa beri nasihat kepada diri sendiri kala hadir ke uji bakat Raja Lawak Musim ke-6 dahulu, apa bilang Ajak? 

    Ajak, ruang empat minit di pentas ini bakal ubah segalanya tentang hidup kau, buat sebaik boleh dan percaya kepada kuasa Allah. Ingat siapa yang bantu kau masa susah dan sentiasa bersyukur. Hidup bakal sibuk jadi ambil masa untuk diri sendiri dan keluarga. Buktikan segalanya mampu untuk ubah kehidupan kau dan keluarga. Oh, kalau popular nanti jangan sekali-kali lupa diri, lupa kawan dan lupa Tuhan.


    Kehidupan Ajak kini sudah berbeza? 

    Ajak sekeluarga cukup bersyukur, kehidupan kami lebih selesa dan rezeki ini hadir daripada Allah. Di ruangan ini juga Ajak ingin memohon maaf kepada semua penyokong kami kerana tidak dapat tunaikan permintaan kalian mendapat tempat yang lebih elok dalam Maharaja Lawak Mega 2014. Kami telah cuba yang terbaik namun ada yang lebih baik, maaf sekiranya kami mengecewakan kalian.

    Sumber: InTrend


    from Sehinggit Media News http://ift.tt/2AHnTDb
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment