Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menuntut Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji (manifesto) mereka kepada rakyat, berbanding terus menerus menanam politik kebencian, lapor Harian Metro.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO itu berkata, kerajaan kini dilihat sibuk menghentam kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu dengan menanam politik kebencian dan mengutuk apa yang sudah dilakukan.
"Rakyat sudah memilih dan memberi tanggungjawab kepada Pakatan Harapan, maka gunakan peluang dan kesempatan ini untuk menunaikan segala janji kepada rakyat.
"Rakyat inginkan masa depan yang lebih baik, jadi buatlah perubahan untuk masa depan negara ini kerana rakyat boleh menilai," katanya yang baru memulakan tugas hari ini selepas menunaikan umrah minggu lalu.
Menurut Hishammuddin, tidak banyak perkara yang dilaksanakan oleh Kerajaan PH sepanjang tempoh 4 minggu berkuasa di Putrajaya, malah PH gagal membentuk barisan Kabinet yang lengkap.
"Jangan cuba mengalihkan fokus rakyat dengan menunjukkan kebencian kepada kerajaan terdahulu. Rakyat boleh menilai dan kini mereka memerhatikan gerak geri kerajaan.
"Tunjukkan perubahan yang ingin dibawa dengan cara yang berhemah dan laksanakan dengan baik, bukan tanamkan kebencian. Rakyat mahu kerajaan yang berfungsi untuk lima tahun akan datang,” katanya.
from The Reporter https://ift.tt/2xP5lnW
via IFTTT
No comments:
Post a Comment