Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui dalam keadaan lemah di dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Arah Utara di Rawang, jam 9.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, bayi lelaki seberat 2.6 kilogram itu ditemui penyelia pembersihan di dalam tandas wanita ketika ingin melakukan kerja pembersihan.
"Bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui bersama uri yang dibungkus dengan kain batik. Ketika ditemui bayi berkenaan sedar dan menangis. Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan," katanya.
Bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan pada bahagian badannya dan kelihatan sempurna. Namun doktor tidak dapat mengesahkan bangsa bayi berkenaan dan pihak polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang bayi perempuan ditemui dalam sebuah kotak yang ditinggalkan di luar rumah seorang lelaki di Taman Serting Indah, Jempol pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, bayi yang cukup sifat itu ditinggalkan di atas tembok pagar rumah lelaki berkenaan kira-kira jam 9.20 pagi tadi.
"Lelaki berusia 46 tahun itu hendak keluar ke kedai sebelum tiba-tiba dia terperasan sebuah kotak lalu memeriksanya. Apabila buka kotak tersebut, dia mendapati seorang bayi perempuan masih hidup dipercayai ditinggalkan seseorang sebelum tampil membuat laporan polis sekitar 9.45 pagi tadi," katanya.
Bayi perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro, Astro Awani
from The Reporter https://ift.tt/2l2aY9e
via IFTTT
No comments:
Post a Comment