loading...
  • Breaking News

    Sunday, December 22, 2019

    Putus Tunang? Anda Sebenarnya Berhak Saman Pasangan Batalkan Pertunangan


    Pertunangan adalah fasa seterusnya yang dilalui kebanyakan individu, sebelum memulakan langkah untuk memasuki alam rumah tangga.

    Ia adalah tempoh persediaan untuk kedua-dua pasangan melakukan persiapan masing-masing, sebelum berlangsungnya hari pernikahan. Tapi, ada juga yang berkahwin terus tanpa melalui proses pertunangan. Terpulang kepada keluarga masing-masing.

    Namun, ada juga tempoh pertunangan yang hanya mampu bertahan setengah jalan — atas faktor-faktor tertentu. Ia umpama memungkiri perjanjian yang telah dipersetujui untuk melangsungkan perkahwinan bersama pasangan. Dan kalau ada yang belum tahu, sebenarnya pertunangan ini dilindungi di sisi undang-undang.

    Jika ada pihak yang tidak berpuas hati setelah melakukan pelbagai persiapan menjelang hari pernikahan, mereka boleh membawa perkara tersebut ke Mahkamah Syariah.


    Perkara ini ada dikongsikan seorang pengguna Twitter baru-baru ini.


    Menurut Mingguan Wanita, undang-undang Keluarga Islam setiap negeri ada diperuntukkan tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan Tuntutan Ganti Rugi Pertunangan.

    Ia turut disebut dalam Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.



    Dan kalau mengikut perkongsian daripada Kamarul Ariffin, tuntutan berlaku apabila salah satu pihak enggan meneruskan perkahwinan tanpa sebab yang munasabah.

    Pihak yang terkilan pula boleh memfailkan saman terhadap pihak yang mungkir — dengan menyertakan bukti menerusi perjanjian bertulis, saksi atau apa sahaja yang berkaitan.

    Mungkin sepanjang tempoh pertunangan itu, pelbagai perbelanjaan telah dikeluarkan sebagai persiapan hari pernikahan, tapi kerana pertunangan terhenti separuh jalan, maka pihak tersebut terpaksa menanggung kerugian besar.

    Jika disabit bersalah, maka pihak yang mungkir perlu membayar ganti rugi perkara berikut:

    Memulangkan pemberian pertunangan, jika ada.

    Membayar semula apa-apa wang yang dibelanjakan oleh satu pihak untuk membuat persediaan perkahwinan.

    Sekiranya pihak yang membatalkan pertunangan adalah lelaki, maka sebarang pemberian tunangnya seperti cincin atau kasut misalnya perlu dipulangkan kembali. Jika makanan, ia perlu dinilai kadarnya.

    Begitu juga halnya, sekiranya pihak perempuan membatalkan pertunangan itu. Manakala bagi pihak yang dianiaya mereka tidak perlu memulangkan segala yang diterima.

    Jadi kesimpulannya, pertunangan bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh kerana ia sudah pun melibatkan perjanjian dua keluarga untuk mengikat tali pernikahan dengan sah.

    Bukan saja rugi kerana telah berhabis banyak wang ringgit, tapi bayangkan malu yang terpaksa ditanggung kedua-dua keluarga.

    Sumber: Lobakmerah.com


    from Sehinggit Media News https://ift.tt/2QbgwNJ
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment