GERHANA Matahari Anulus atau Gerhana Matahari Cincin yang berlaku semalam didapati turut mempengaruhi perilaku haiwan.
Berdasarkan pemerhatian sekumpulan pelajar dari Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terhadap reaksi haiwan di Zoo Johor, Johor Bahru, semasa fenomena itu sekumpulan rusa berada dalam kawanan ketika kemuncak gerhana itu berbanding sebelumnya.
"Ular menjadi pilihan untuk dilakukan pemerhatian kerana sifat haiwan itu yang sensitif terhadap perubahan alam. Berdasarkan pemerhatian, haiwan itu bergerak sekali sekala sebelum waktu kemuncak gerhana dan tidak bergerak pada waktu kemuncak.
"Monyet pula dilihat agresif pada sebelah pagi tadi sebelum diam pada waktu kemuncak gerhana," kata Nur Rabiatuadawiyah Baharul Azidi, 25, salah seorang daripada lima pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik yang terlibat dalam pemerhatian itu.
Orang ramai berkunjung ke Zoo Johor sempena pencerapan fenomena Gerhana Matahari Anulus yang dapat disaksikan hari ini di Zoo berkenaan kira-kira 20 KM dari Bandaraya Johor Bahru.
Pelajar berkenaan memulakan pemerhatian pada 9 pagi dan kemudian ditumpukan pada waktu kemuncak gerhana kira-kira 1.20 tengah hari sehingga gerhana berakhir 3.20 petang, terhadap haiwan jenis mamalia dan reptilia iaitu sekumpulan rusa, seladang, ular, gajah, harimau, singa serta monyet.
Selain merekodkan pergerakan kesemua haiwan itu, mereka turut merekodkan kelajuan angin dan suhu dengan menggunakan alat anemometer.
Pemerhatian tersebut dilakukan menerusi subjek Falak Syarie di bawah kendalian pensyarah kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM Dr Othman Zainon.
"Seorang daripada kami ditugaskan memerhati pergerakan dan tindak balas sekumpulan rusa dan seekor seladang. Dua orang memerhati dua ekor ular sawa batik, dua ekor ular sawa albino serta seekor ular tedung selar manakala dua lagi memerhati dua ekor gajah, beberapa ekor harimau, singa dan monyet," kata Nur Rabiatuadawiyah yang ditemui di zoo berkenaan.
Sementara itu, Othman yang dihubungi berkata sebelum ini beliau dan para pelajar fakulti itu pernah melakukan pemerhatian sama terhadap sekumpulan rusa di universiti itu ketika berlakunya Gerhana Matahari Separa pada 9 Mac 2016.
"Ketika kemuncak Gerhana Matahari Separa itu, sekumpulan rusa didapati panik dan berada dalam kumpulan kawanan mereka.
"Jadi, kali ini kita mahu melihat perilaku yang sama atau sebaliknya ketika berlakunya Gerhana Matahari Cincin ini," katanya yang berada di Tanjung Piai bagi menyaksikan fenomena tersebut hari ini.- Bernama
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2soSDui
via IFTTT
No comments:
Post a Comment