Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut selepas mendapatinya bersalah membunuh bayi perempuan berusia 11 bulan dan menyifatkan perbuatan itu amat kejam kerana mangsa mengalami kecederaan serius selain didera dari segi seksual.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazmi Majid, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Hazmi yang merupakan suami kepada pengasuh bayi itu didakwa membunuh dan menyebabkan kematian Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara di sebuah rumah di Apartmen Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 Nov 2018.
Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Halim berkata beliau tidak dapat membayangkan betapa seksa dan deritanya bayi itu menanggung kesakitan.
“Kamu tidak berhati perut, tiada perasaan dan tindakan kamu tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata si mati turut mengalami perbagai kecederaan yang serius antaranya pendarahan di bawah kulit kepala, tengkorak pecah serta pendarahan di bahagian atas dan belakang otak selain terdapat kesan lebam di lengan kanan yang menurut doktor ia adalah kesan akibat gigitan orang dewasa.
“Lebih menyedihkan lagi, bayi itu turut didera dari segi seksual dengan dahsyatnya. Sesungguhnya perbuatan kamu amatlah kejam. Apa dosa anak ini sehingga tergamak kamu menderanya dan memperlakukannya sedemikian rupa?
"Kamu sendiri ada anak, apa perasaan kamu seandainya anak kamu diperlakukan sepertimana kamu lakukan kepada si mati?” tanya Hakim Abdul Halim.
Beliau turut menasihati ibu bapa untuk mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan lebih berhati-hati dalam memilih pengasuh untuk mengasuh anak-anak.
“Kaji dan selidik dahulu latar belakang pengasuh terutamanya pengasuh yang tidak mempunyai pertalian keluarga dengan kita. Jangan mudah terpedaya dengan pengiklanan yang menawarkan khidmat pengasuh dan selidik latar belakang pengasuh serta ahli keluarganya terlebih dahulu. Jangan tersalah pilih kerana akibatnya seperti menyerahkan anak ke sangkar maut,” katanya.
Seramai 22 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes tersebut yang bermula pada 7 Jan 2020.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak manakala peguam A Jeyaseelan mewakili tertuduh.
Pada 2018, media melaporkan perbuatan tidak berperikemanusiaan dilakukan ke atas Nur Muazara Ulfa yang meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya.
Kes kematian menyayat hati bayi itu juga mendapat perhatian masyarakat di seluruh negara.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/3D1vCgB
via IFTTT
No comments:
Post a Comment