loading...
  • Breaking News

    Wednesday, August 4, 2021

    Pelawak jual wanita Melanau untuk tujuan seks ditahan polis, Tauke tampil nafi dirinya adalah suspek yang ditahan


    Polis menahan seorang pelawak terkenal kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel, Ahad, 1 Ogos 2021. 


    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, dalam serbuan yang dilakukan pada jam 10 pagi itu, seorang wanita berjaya diselamatkan dan lelaki berusia 40-an itu berjaya ditahan dalam Ops Pintas oleh Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah, selepas melakukan risikan. 


    "Kami berjaya menahan seorang lelaki dan menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks. 


    "Siasatan dijalankan mengikut Seksyen Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda," katanya.


    Sebuah kereta jenis Perodua Axia turut dirampas bersama beberapa bungkusan kondom, empat telefon bimbit dan sejumlah wang tunai. 


    Suspek direman selama empat hari, manakala mangsa diberi perlindungan sementara di sebuah rumah perlindungan di Johor. Suspek juga dikompaun kerana melakukan kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran. 


    Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang. 


    Sementara itu, pelawak Tauke atau nama sebenar Zamratul Amri Zakaria tampil menafikan dirinya adalah suspek kes pemerdagangan manusia yang ditahan polis, Ahad lalu. 


    "Saya tidak terbabit dalam apa-apa kegiatan seperti itu. Gilalah siapa yang petik nama saya itu. Saya ada saja di rumah di Bukit Jalil ini. Saya berada dalam keadaan baik dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Biarlah orang nak cakap, tapi tak eloklah kaitkan saya dengan isu sedemikian. 


    "Rasa kelakar pula bila nama saya dikaitkan dalam perkara ini. Saya tiada hak untuk menutup mulut orang. Masing-masing ada hak bersuara. Kalau Agong pun orang boleh pertikaikan, apatah lagi saya ini. Jangan risau, saya berada dalam keadaan yang baik di samping isteri saya sekarang ini," katanya. 


    Sumber: Harian Metro 



    from The Reporter https://ift.tt/3xhGQt6
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment