Susulan pendedahan pelakon Puteri Balqis, 15, yang mendakwa dirinya didera dan diganggu secara seksual oleh bapa kandung sendiri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Mohd Harun tampil memaklumkan pihaknya bersedia memanggil remaja itu untuk membantu siasatan.
Menurut Rina, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap lelaki terbabit sekiranya jenayah itu berlaku dan kini sedang menunggu tindakan lanjut dari pihak berkuasa.
"Jika betul ada, kita akan panggil dia dan bapanya untuk disiasat serta tidak teragak-agak ambil tindakan tegas di bawah Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis yang dibuat oleh bapa pelakon berkenaan, Ahad lalu, yang menafikan segala tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan oleh Puteri Balqis.
Menurut laporan itu, lelaki berusia 44 tahun itu menegaskan bahawa dia masih berfikiran waras dan mempunyai pegangan agama serta tidak pernah terlintas di fikirannya sebagai seorang bapa untuk melakukan perbuatan keji terhadap darah dagingnya sendiri.
"Lelaki terbabit dalam laporan polis memberitahu anaknya itu mengeluarkan kenyataan berbentuk tuduhan mengatakan dia cuba melakukan perkara tidak senonoh dan beberapa lagi perkara buruk terhadapnya," lapor sumber Harian Metro.
Sementara itu, Puteri Balqis juga dikatakan telah membuat laporan polis dan perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.
Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad, tidak bersetuju dengan cara Puteri Balqis yang membuat pendedahan itu melalui YouTube kerana secara tidak langsung telah membuka aib sendiri.
Beliau berkata, Puteri Balqis sewajarnya membuat laporan polis bagi membolehkan dirinya mendapat pembelaan undang-undang dan dilindungi dari sebarang ancaman pada masa akan datang.
"Sepatutnya kita dalam Islam, dia lebih pentingkan kepada menutup aib sendiri. Sepatutnya gangguan seperti itu tak perlu didedahkan kepada orang ramai.
"Dia sepatutnya lapor pada polis. Polis yang bertanggungjawab akan menyiasat kes itu," katanya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/o6fa8A5
via IFTTT
No comments:
Post a Comment