loading...
  • Breaking News

    Thursday, November 22, 2018

    'Saya masih ingat janji mereka yang diberikan 2 tahun lalu' - Mangsa simbahan asid kesal usahawan kosmetik mungkir janji


    "Jika tidak boleh tolong, jangan bagi harapan palsu, sekali gus mempermainkan perasaan saya," demikian luah Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 16, yang menjadi mangsa simbah asid oleh bapa kandungnya sendiri. 

    Dalam kejadian jam 1.45 pagi, 14 Ogos 2010, mangsa bersama ibu dan adik lelakinya melecur akibat disimbah asid dipercayai cuka getah di rumah mereka menyebabkan mangsa mengalami kecacatan di muka dan badan termasuk kedua-dua lubang hidungnya mengecut sehingga mengganggu pernafasannya. 

    Difahamkan, ada dua pihak tampil menyuarakan mahu membantu Nurul untuk membiayai kos pembedahan plastik yang bernilai RM100,000 pada 2016 iaitu pihak kerajaan negeri dan seorang ahli perniagaan kosmetik yang terkenal. (Rujuk laporan Harian Metro 2 Julai 2016 dan 11 Mac 2016)

    Malangnya, sehingga kini kedua-dua pihak itu dikatakan membisu tanpa sebarang tindakan, seolah-olah melupakan janji yang telah diucapkan sebelum ini. 

    "Selama dua tahun saya menunggu, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan daripada ahli perniagaan itu. Begitu juga dengan kerajaan negeri yang pernah berjanji untuk membantu. 

    "Jangan berjanji jika tidak mampu tepati. Walaupun sudah dua tahun berlalu, saya masih ingat dengan janji diberikan mereka. Kata-kata harapan yang diberi mereka masih segar di ingatan sehingga kini. 

    "Saya sudah menjalani semua proses yang diminta termasuk pemeriksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tetapi hingga sekarang pihak berkenaan tidak membuat tindakan susulan, sekali gus menyebabkan saya tertanya-tanya status rawatan seterusnya. 

    "Selama lapan tahun saya menjalani kehidupan dengan wajah seperti ini dan ia sudah sebati dengan diri. Tetapi jauh di sudut hati, saya tetap ingin merawatnya supaya ia kembali normal sekurang-kurangnya tidak mengalami masalah kulit gatal. 

    "Saya kekok dan malu berhadapan dengan orang baru dikenali, malah tidak mempunyai keyakinan diri untuk berada di tempat awam kerana sering diperhatikan orang sekeliling. 

    "Maklumlah wajah saya tidak sama seperti orang lain dan tentunya akan menjadi perhatian dan tidak semua orang yang mengetahui tragedi di sebalik wajah ini dan memahami perasaan saya," katanya. 

    Sementara itu, ibunya, Che Ku Zaimah Che Awang, 36, juga kecewa denga pihak berkenaan yang tidak menunaikan janji. 

    "Saya masih ingat, kami sekeluarga berjumpa dengan ahli perniagaan terkenal itu di sebuah hotel di Kelantan dan usahawan itu menyatakan kesediaan membantu membiayai perbelanjaan pembedahan anak. 

    "Malangnya, tiada susulan yang dibuat sehingga kini. Kerajaan negeri melalui bekas Menteri Besar Terenggan, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman ketika itu juga pernah melawat kami sekeluarga pada 2016 dan turut menyuarakan hasrat yang sama tetapi turut membisu selepas itu," katanya. 

    Berdasarkan semakan di laman berita Harian Metro, Mac 2016, Nurul pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia gembira dapat bertemu dengan idolanya yang merupakan usahawan kosmetik dan menganggap pertemuan itu akan menjadi kenangan paling indah dalam hidupnya selain harapannya untuk memulihkan parut di muka dengan bantuan dari idolanya itu. 

    Sumber: Harian Metro


    from The Reporter https://ift.tt/2DAsHz8
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment