Seorang peniaga warung makanan maut selepas alat pemadam api kenderaan yang diletakkan di hadapan rumahnya meletup dan terkena pada bahagian kaki, paha dan lengan kirinya di Bandar Puteri Jaya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata ketika kejadian pada jam 1.15 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Yusri Omar, 43, sebelum itu dikatakan sedang membaiki radio milik rakannya yang turut berada bersama mangsa.
"Bagi menambah pendapatan sampingan mangsa telah bekerja separuh masa membaiki peralatan elektronik di hadapan rumahnya. Sebelum kejadian berlaku, saksi (rakan mangsa) memberitahu, sedang duduk bersembang di hadapan rumah sambil memerhati mangsa membaiki radio yang dihantar olehnya.
"Saksi juga memberitahu pemadam api tersebut adalah untuk kegunaan di dalam kenderaan tetapi telah dikeluarkan dan berada dalam jarak tiga kaki dari tempat mereka berbual.
"Secara tiba-tiba pemadam api tersebut telah mengeluarkan asap putih menyebabkan mangsa terus mengambil untuk membuangnya tetapi (pemadam api) terus meletup" katanya dalam kenyataan di sini.
Adzli berkata isteri mangsa yang berada di dalam rumah terus meluru keluar sebaik mendengar letupan itu dan mendapati suaminya terbaring berlumuran darah.
Katanya, isteri mangsa bersama dengan rakannya kemudian telah membawa mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini dan ketika itu mangsa masih sedarkan diri, namun 20 minit kemudian doktor bertugas memaklumkan mangsa telah meninggal dunia.
Adzli menambah, forensik polis yang menjalankan siasatan awal pada pemadam api berkenaan mendapati ada kesan potong pada alat berkenaan dan siasatan lanjut di tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa akan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, esok.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/2UUGCXW
via IFTTT
No comments:
Post a Comment