loading...
  • Breaking News

    Monday, January 24, 2022

    'Terpaksa naik harga, sebab harga ikan juga naik RM3' - Peniaga naikkan harga menu asam pedas dari RM10 ke RM12


    Golongan peniaga di Melaka lega dengan keputusan kerajaan membenarkan mereka menaikkan harga makanan ekoran peningkatan harga barangan mentah dengan syarat tiada sebarang unsur mencatut. 


    Peniaga asam pedas, Julaiha Baharin, 42, berkata dia terpaksa menaikkan harga menu asam pedas disebabkan harga ikan meningkat sekitar RM2 hingga RM3. Dia yang baru berniaga empat bulan di medan selera pusat beli-belah berkata, keuntungan yang diperolehinya hanya sekadar mampu menanggung kos operasi seperti sewa kedai RM1,600 seublan, bil air, elektrik dan gas. Hal itu membuatkan dia tiada pilihan selain menaikkan harga asam pedas.


    "Saya tiada pilihan, terpaksa juga menaikkan harga asam pedas kerana harga bahan mentah terutama ikan meningkat hampir sekali ganda. Sebagai contoh, harga ikan mabong sebelum ini RM12 sekilogram, tetapi kini mencecah RM22 sekilogram. Jadi, set menu asam pedas ikan mabong terpaksa saya naikkan daripada RM10 ke RM12. Itupun saya terpaksa fikirkan pelanggan kerana tidak mahu membebankan mereka dan akhirnya membuatkan saya hilang pelanggan," katanya. 


    Peniaga nasi campur di Jalan Plaza Mahkota, Husni Azmi, 46, berkata dia yang sudah berniaga lebih 10 tahun di kawasan tumpuan pelancong tidak berani menaikkan harga berlebihan walaupun keuntungan yang diperolehinya masih rendah. 


    "Kami tersepit, apabila harga bahan mentah naik, kita tidak boleh naikkan harga jualan sesuka hati kerana selain hilang pelanggan, ada pihak berkuasa yang akan turun pantau harga makanan. Itu belum lagi pelanggan buat aduan kata harga makanan mahal, sedangkan harga barang mentah yang kami beli pun dah semakin meningkat katanya. 


    Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman menggesa golongan peniaga tidak mengambil kesempatan atas keputusan kerajaan membenarkan harga makanan dinaikkan. Peniaga katanya perlu bersedia untuk menurunkan semula harga apabila harga dan bekalan bahan mentah sudah kembali stabil. 


    "Peniaga perlu pastikan harga yang dinaikkan kelak tidak menyebabkan pengguna terbeban dan margin kenaikan melampau. Jangan pula ambil kesempatan atas kebenaran diberikan kerajaan untuk sewenang-wenangnya mengaut keuntungan mudah. 


    "Kenaikan perlu sejajar dengan kenaikan harga bahan mentah dan mereka perlu turunkan harga apabila bahan mentah kembali stabil," katanya. 


    Sumber: Bernama, Harian Metro



    from The Reporter https://ift.tt/3IA6eAv
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment