loading...
  • Breaking News

    Monday, January 24, 2022

    (Video) Pemandu Kelisa maut dihempap lori simen, brek gagal berfungsi


    Malang tak berbau, seorang wanita maut selepas kenderaannya dihempap lori simen yang dipercayai mengalami kerosakan brek, dalam kejadian yang berlaku petang Sabtu lalu. 


    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kejadian itu berlaku pada jam 4.10 petang di persimpangan lampu isyarat Jalan Sri Cemerlang. Mangsa, Roslina Anat Lat, 47, maut di tempat kejadian. 


    Siasatan awal mendapati, lori tersebut membawa muatan simen dari Pengkalan Chepa menghala ke Jalan Sri Cemerlang. Sebaik saja tiba di lokasi, brek lori gagal berfungsi dan pemandu cuba mengelak terlanggar kenderaan di hadapan dan segera membelok ke kiri. 


    Malangnya ketika membelok, kenderaan itu terbalik lalu menghempap Perodua Kelisa yang dinaiki mangsa berhenti di lampu isyarat di arah bertentangan. 


    15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dikerahkan ke lokasi dan mendapati lori telah menghempap kereta Kelisa dan muatan simen yang dibawa tumpah dan memenuhi kereta kecil itu. 


    Bomba menghadapi sedikit kesukaran berikutan keadaan bumbung kereta yang kemek dan mangsa tersepit, ditambah dengan muatan simen yang tumpah di atas mangsa. Bomba terpaksa menggunakan peralatan jenis pemotong hidraulik dan beg udara untuk mengeluarkan mangsa.


    Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di dada dan kaki. Mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat. Turut menjadi mangsa, sebuah lagi kereta jenis Honda Civic. Bagaimanapun pemandunya tidak mengalami kecederaan. 





    Polis percaya, kemalangan itu berpunca dari kecuaian pemandu lori dalam memastikan kenderaan yang dipandunya selamat untuk dikendalikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


    Sumber: Harian Metro



    from The Reporter https://ift.tt/3tSuNUV
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment