Seorang lelaki yang menunggang motosikal secara melawan arus di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) kelmarin, mengalami kecederaan parah selepas bertembung dengan motosikal lain.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 6.45 petang dan akibat dari kejadian itu, mangsa berusia 40 tahun mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan pendarahan dalam otak.
Siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal Modenas Kriss dari arah Krubong ke Sungai Udang secara melawan arus. Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai telah melawan arus dari kiri jalan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa kedua yang dalam perjalanan menuju ke bandar raya Melaka.
Penunggang motosikal Suzuki Panther yang ketika itu sedang laju gagal mengelak mangsa berikutan lampu isyarat di laluannya ketika itu berwarna hijau.
Impak dari pertembungan kuat itu, kaki dan rusuk kanan mangsa patah dan mengalami pendarahan otak. Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Melaka. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Kosmo! Online, Info Roadblock JPJ/POLIS
from The Reporter https://ift.tt/3g1qiiF
via IFTTT
No comments:
Post a Comment