loading...
  • Breaking News

    Wednesday, March 22, 2017

    8 produk kosmetik dikesan beracun - KKM


    PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lapan produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual, merkuri, hydroquinone dan tretinoin yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik, lapor Sinar Harian Online

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan produk tersebut ialah Moleek Day Cream, Adel Miracle Flawless Serum, Ah Beauty Night Cream yang mengandungi merkuri, Ndz UV Whitening (hydroquinone), Snow Cream Normal, Snow Cream Sensitif, Dnars Nar Cream - Sensitif dan Ellfie Night Cream (hydroquinone dan tretinoin). 

    Berikutan pengesanan bahan beracun berjadual itu, notifikasi produk-produk kosmetik tersebut telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM. 

    "Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. 

    "Selain itu, ia boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit," katanya. 

    Dr Noor Hisham berkata, produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan. Namun, penggunaan tanpa pengawasan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari. 

    Bagi produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri, ia boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. 

    Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi bahan merkuri disapu pada kulit meruap dan dihidu. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit. 

    Justeru, Dr Noor Hisham menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik yang terlibat, menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. 

    Penjual dan pengedar produk-produk terlibat diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk-produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. 

    "Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikut. 

    Syarikat yang melakukan kesalahan itu juga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. 


    from The Reporter http://ift.tt/2nArmAD
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment