Assalamualaikum. Terima kasih admin, kerana approve. Aku menulis sekadar memberi peringatan kepada adik-adik yang baru habis belajar dan baru mula bekerja atau yang baru berpindah kerja di tempat baru.
Aku kerja kerajaan. Tahun lepas, ada seorang pegawai baru masuk kerja. Aku namakan dia sebagai Ainna. Orangnya lemah lembut dan sentiasa tersenyum. Cukup berdedikasi dan sangat komited dengan kerja. Ainna baru habis cuti belajar, peringkat PhD.
Pada mulanya, dia satu unit dengan aku. Kami bekerja bersama-sama dalam suasana yang baik dan harmoni. Ainna seorang individu yang tidak berkira tentang kerja. Dia akan membantu sesiapa sahaja tanpa syarat. Kemudian dia ditarik masuk ke unit lain atas permintaan pegawai-pegawai di unit berkenaan. Maka bermulalah episod hitam dalam kerjaya Ainna.
Semuanya bermula semenjak sebulan yang lalu selepas Ainna ditarik ke unit berkenaan. Aku namakan unit itu sebagai Unit C.
Siasatan dilakukan apabila terdapat satu kotak yang sederhana besar yang dipenuhi dengan barang-barang kosmetik murah yang boleh dibeli di pasar-pasar malam dihantar ke sebuah sekolah menggunakan akaun Unit C. Yang disyaki ialah ada pegawai atau pekerja yang menggunakan akaun kerajaan untuk perniagaan online.
Yang menariknya, unit pengeposan hanya di tingkat bawah bangunan ini. Cerita yang tersebar,
Tak pernah berlaku perkara seperti ini di Unit C. Kecuali sejak 'dia' datang...
Aku perhatikan sahaja. Aku lihat Ainna seperti biasa, sentiasa tersenyum dan menegur aku apabila kami bertemu di mana-mana. Cerita itu kemudiannya senyap. Kemudian cerita tentang kehilangan Stapler heavy duty yang berat dan besar pula hilang. Masih ayat yang sama tersebar,
Tak pernah berlaku perkara seperti ini di Unit C. Sejak dia datang, macam-macam hilang. Kau fikirlah...
Kemudian bermacam-macam lagi hilang dari cop unit, pen, kertas, printer besar sehinggalah laptop pejabat. Ayat yang tersebar,
Tak pernah berlaku perkara seperti ini di Unit C. Sejak dia datang, macam-macam hilang. Korang fikirlah...
Aku seorang pemerhati dan pemikir, maka aku mula memerhati. Ainna datang dan balik setiap hari melalui lobi hadapan yang dilengkapi CCTV dari dalam lif hinggalah ke pintu masuk utama. Ainna cuma membawa handbag kecil dan sebuah beg yang diisi dengan buku nota dan buku sketch. Oh ya, Ainna seorang ilustrator. Dia banyak melukis untuk penulis-penulis buku cerita. Dia juga seorang ghost writer yang menulis buku untuk tokoh-tokoh politik dan perniagaan dan Ainna orangnya kecil sahaja. Comel dan mungkin nampak muda kerana dia suka tersenyum.
Banyak cerita buruk Ainna tersebar di pejabat. Disebarkan oleh seorang pegawai yang kononnya lama di unit berkenaan tetapi memangku jawatan yang rendah dari Ainna. Aku namakan dia Elias. Lelaki apabila mengumpat lebih dahsyat dari perempuan. Elias mengulang-ulang ayat yang sama,
Sebelum ini tak pernah berlaku perkara macam ini di Unit C. Sejak dia datang, macam-macam benda hilang. Korang fikirlah sendiri...
Aku terus memerhati dan aku mendapati Ainna semakin pendiam. Dia hanya tersenyum tawar dan aku pernah terjumpa dia menangis di tandas seorang diri. Dia tidak mahu bercerita tetapi sebagai pemerhati, aku tahu tekanan yang dihadapinya sebagai pegawai baru yang dituduh dengan bermacam-macam perkara dan ramai pula orang bodoh yang percaya.
Atas dasar simpati, aku mula menyiasat. Aku mendapati laptop yang dikatakan hilang dipinjam oleh Elias. Ada bukti peminjaman oleh Elias di dalam buku rekod. Aku menjadi semakin jelas dengan apa yang berlaku.
Aku berbual dengan seorang pekerja sementara yang banyak menjadi saksi Elias dalam semua tuduhan kepada Ainna. Pekerja sementara ini dari gaya bercakapnya bolehlah dikatakan dengki dengan Ainna apabila dia memberitahu aku, dia terkejut melihat gaji Ainna pada satu borang claim out station Ainna.
"Banyaknya gaji!"
Adik 'pekerja sementara', Ainna itu berkelulusan tinggi dan ada pengalaman kerja lebih 10 tahun. Apa yang kau mahu dengkikan? Inilah orang Melayu, lebih suka melihat bangsa sendiri diaibkan dan jatuh dari berjaya bersama-sama.
Aku terus memerhati dan aku sedih apabila ramai pegawai di pejabat boleh termakan hasutan atas 'cerita dengar cakap' yang tersebar dari melihat bukti sebenar. Strategi menggunakan ayat, 'Tak pernah berlaku perkara seperti ini di Unit C. Sejak dia datang macam-macam hilang, korang fikirlah sendiri' pada aku, satu strategi yang berkesan untuk menjatuh dan mengaibkan seorang pegawai baru.
Untuk Elias, aku dan kawan-kawan, aku sudah melihat rakaman CCTV di lif pintu belakang. Banyak rakaman menunjukkan kau mengangkat kotak seorang diri dan kadangkala bersama pekerja sementara menuju ke arah parking motor kau atau kereta kau. Mungkin kau ingat dengan menyebarkan ayat 'Tak pernah berlaku... sejak dia datang... korang fikirlah...' akan berjaya membuatkan Ainna dibuang kerja hanya kerana kau ada budak pekerja sementara yang menjadi saksi bohong kau untuk semua perkara. Dan kau terus seronok bercerita dengan semua orang di semua aras hanya kerana kau fikir mereka kenal kau lebih lama dari Ainna. Kau lupa Allah itu ada!
Elias, kami juga tahu kau baru habis degree dan kau takut kau direposting ke bahagian lain kerana unit kau telah penuh. Memang keji strategi kau untuk kekal di unit itu.
Buat adik pekerja sementara, kau tahu tak kenapa kau masih bertaraf pekerja sementara? Kau tahu tak kenapa Allah letakkan kau di situ? Keseronokan kau mengenakan pegawai hanya di dunia dan aku yakin di dunia lagi kau akan dapat balasannya jika kau masih lagi dengan perangai buruk mengaibkan orang setiap kali membuka mulut. Kau tak akan ke mana-mana.
Aku dan rakan-rakan pegawai terus memerhati dan kami juga sedang merangka strategi untuk membantu Ainna. Buat adik-adik yang baru bekerja, berhati-hatilah dengan pegawai lama. Mungkin ada yang benar-benar ikhlas untuk memberi tunjuk ajar. Tapi akan ada juga pegawai lama yang akan rasa tercabar apatah lagi yang baru datang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi.
Sebagai pemerhati, aku tak akan percaya lagi dengan ayat 'Tak pernah berlaku... sejak dia datang... korang fikirlah...' inilah strategi paling keji untuk menjatuhkan pegawai baru dan membuatkan aku hampir termuntah apabila mengetahui cerita sebenar di sebalik fitnah yang tersebar.
Buat Ainna, ingatlah La Ila ha Illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minaz Zholimin. Kuatkan semangat kau dan ketahuilah masih ramai pegawai di sini yang boleh berfikir dan sedia membantu kau. Kau boleh berjumpa kami pada bila-bila masa.
Aku kini bukan sekadar pemerhati, aku juga sudah mula bertindak untuk menghentikan politik pejabat yang kotor dan strategi yang keji.
Buat pembaca semua, titipkanlah doa buat Ainna agar dia terselamat dari fitnah dan hasad dengki. Negara akan rugi jika pegawai yang benar-benar jujur dan ikhlas bekerja berterusan dianiayai oleh pegawai lama yang penuh hasad dengki. Semoga Ainna diberi kekuatan untuk berhadapan dengan fitnah dan dilindungi Allah SWT dari manusia yang zalim. Amiin.
from The Reporter http://ift.tt/2oqcMwM
via IFTTT
No comments:
Post a Comment