Oleh Mohd Nassru
Sebak saya melihat dan meremang roma, pasukan konvoi graduan penghuni penjara. Segak, bersongkok, bertali leher. Tangannya masih bergari sebelum majlis sebenar. Sebaik sahaja acara sebenar, gari dibuka untuk penerimaan scroll.
Pasukan Keselamatan bersenjata memenuhi ruang luar dan dalam dewan. Bilangan graduan Sijil Kemahiran Malaysia dari seluruh penjara. Lihat sendiri ruangan itu. Tiada siapa memilih untuk jalan hidup ditirai besi. Tiada siapa mahu sejarah hidupnya hidup di lantai simen dan bertingkap jeriji.
Ramai ahli keluarga yang kelihatan di ruang tetamu keluarga. Ada bunga-bunga konvo dipegang penuh harapan. Ada si ibu tua memandang sayu, mengesat mata.
Hari ini, dengan izin Ketua Jabatan, saya mewakili untuk bacaan doa dalam istiadat konvokesyen. Satu pengalaman baru. Ia mengingatkan saya ketika perkongsian bersama warga banduan penjara. Menyampaikan perkongsian untuk muhasabah diri.
Banyak sekatan untuk sampai ke dewan bersama banduan. Banyak pagar berjeriji berkunci. Ketika itu, saya mulakan dengan istighfar bersama-sama banduan. Mereka mula menundukkan kepala, hiba.
Saya bertanya "Siapa yang masih ada ayah ibu di luar sana?"
Ramai yang mengangkat tangan, mengesat air mata hujung lengan baju.
Saya bertanya "Siapa yang ada anak isteri di luar sana?"
Suara tangisan mula kedengaran. Hiba, rindu dengan anak isteri menjerut penyesalan. Kita, jangan hina bekas banduan kerana mungkin disebabkan orang lain, mereka meringkuk (dalam penjara). Tahniah para penghuni penjara, di luar sana ada kehidupan lebih bermakna!
from The Reporter http://ift.tt/2oGynOj
via IFTTT
No comments:
Post a Comment