loading...
  • Breaking News

    Sunday, April 30, 2017

    'Ya Allah, kalaulah suami aku khianati aku, curangi aku, biarlah malam ini dia kemalangan'



    Assalamualaikum. Sekadar nak kongsi pengalaman. 

    Saya sudah16 tahun berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak. Saya dan suami sebaya, berkahwin awal pada usia 21 tahun. Selepas tamat SPM, saya sambung belajar, manakala suami terus bekerja. Mak mentua yang beria-ria mahu kami kahwin awal. Belum sempat saya habis belajar, saya dah berkahwin. 

    Di awal perkahwinan, kami PJJ selama setahun. Tamat pengajian, saya pun melahirkan anak sulung. Allah permudahkan urusan saya. Selesai saja berpantang, saya ditawarkan kerja di bandar yang tidak jauh dari kampung. Alhamdulillah, rezeki anak. 

    Kami menyewa sebuah rumah kampung sahaja pada waktu itu. Tidak lama selepas itu, ujian pertama dalam perkahwinan, suami dah pandai balik lewat setiap hari. Hati saya dah syak macam-macam. Semakin lama, keadaan semakin teruk. Yang paling membuatkan saya rasa geram, rumah saya terbakar dan puas saya menelefon dia, tak dijawab. Mujurlah pada waktu itu ada jiran-jiran yang baik membantu. 

    Menjelang tengah malam, barulah dia pulang. Masa itu dia memang menyesal sebab tak jawab panggilan saya (waktu itu saya guna telefon jiran, telefon bimbit tak ada line dan tak dapat nak hantar SMS). 

    Selepas kejadian itu, saya terpaksa menumpang di rumah mak saya. Tetapi suami masih lagi buat perangai. Jam 2-3 pagi baru pulang ke rumah. Saya malu dengan keluarga saya sebab mereka sudah mula 'bersuara' Akhirnya saya tak tahan dan berdoa. 

    "Ya Allah, kalaulah suami aku khianati aku, curangi aku, biarlah malam ini dia kemalangan" 

    Masa itu saya dah geram sangat dan mendoakan suami ditimpa kemalangan. Selepas tersedar, saya istighfar semula. Mungkin doa saya, doa hamba yang teraniaya agaknya, Allah makbulkan doa saya. 

    Dalam jam 5 pagi, saya terdengar bunyi kereta di luar rumah tetapi bukan kereta dia. Bila saya buka pintu, tengok suami dengan lebam dan luka sepanjang satu inci di kepala. Katanya kemalangan langgar babi. Mengucap saya pada waktu itu dan terdetik dalam hati, "Allah perkenakan doa aku?", menjadikan hati saya kuat mengatakan dia memang ada melakukan sesuatu di belakang saya. Tetapi saya bersabar dan tidak mahu bergaduh di rumah mak saya. 

    Tidak lama selepas itu, kami berpindah ke rumah lain. Masa itu saya mula siasat. Saya perasan dia selalu menyorokkan telefon bimbitnya. Suatu pagi, sewaktu dia sedang mandi, saya mencari telefonnya. Bila terjumpa, saya terus buka telefon itu dan mendapati ada mesej dari perempuan yang 'ber'abang-abang' dengannya. Saya tunggu dia di pintu bilik.

    Selesai saja dia mandi, saya tanya dia siapa perempuan yang dia sms itu? Dia diam. Saya lempar telefon itu ke dinding, hancur! Sebelum itu saya dah salin siap-siap nombor telefon perempuan itu. Suami saya merayu-rayu dan menangis takkan buat lagi. Dia merayu agar saya tidak tinggalkan dia. 

    Saya pergi kerja seperti biasa. Sampai di pejabat, saya menghubungi perempuan itu dan ceritakan hal sebenar dan ajak dia berjumpa. Perempuan itu kata, dia tidak tahu yang suami saya sudah berkahwin. Suami saya selalu balik lambat sebab keluar dengan dia sehingga larut malam. Perempuan itu berjanji yang dia tidak akan kacau suami saya lagi.

    Tetapi saya tak bodoh. Keesokannya saya pergi mengintip dia di tempat kerja dan ternyata mereka masih berjumpa lagi. Masa itu saya tak ada kereta dan saya mengekori mereka menggunakan teksi. Rupa-rupanya mereka pergi makan tengah hari bersama. Memang saya geram pada waktu itu dan terjah mereka yang sedang makan. Air sirap di atas meja, saya simbah atas muka suami dan perempuan itu. 

    Dengan nada lembut dan manja, saya kata, "Abang, sila pilih saya atau perempuan ini?" 

    Suami bangun dan kata pilih saya.

    "Kenapa ganggu suami saya lagi?" soal saya pada perempuan itu. 

    "Sebab tak boleh nak lupakan dia," jawabnya. 

    "Lepas ni kau jaga, aku akan upah seorang perempuan untuk kacau ayah kau. Aku tak boleh buat engkau, aku akan buat pada keluarga engkau. Aku dah siasat dan aku tahu semua pasal engkau, mak ayah engkau, adik beradik engkau (sedangkan saya tak tahu apa-apa pun, gertak saja lebih)," kata saya sebelum beredar dari situ dan suami mengekori dari belakang. 

    Selepas kejadian itu, suami saya jadi lelaki mithali untuk beberapa bulan. Saya pula mengandung anak kedua dengan harapan bila bertambah anak, suami akan lebih bertanggungjawab.

    Lahir saya anak kedua, sekali lagi suami buat perangai dengan budak perempuan berhampiran dengan rumah sewa kami. Suami siap hantar dia pergi kerja bagai. Sekali lagi saya kumpul bukti dan bila bukti sudah mencukupi, terus pergi serang. Kali ini sayab elasah kedua-duanya sekali. 

    Perempuan itu tahu suami saya sudah berkahwin dan ada anak, tetapi gatal juga nak melayan. Hati saya sudah mula tawar, tetapi masa itu saya muda dan takut kalau bercerai, mesti keluarga akan salahkan saya. 

    Tetapi hati saya berdendam dengan suami dan mulai dari hari itu, saya tidak bertolak ansur dah dengan suami. Gaji saya, saya gunakan sepenuhnya untuk saya. Saya tak bayar ansuran kereta sebab kereta atas nama dia. Saya beli makanan untuk saya dan anak-anak sahaja. Gaji saya dijoli bersama dengan anak-anak. Akhirnya kereta dia ditarik, saya buat tak tahu saja. 

    Maka dia pun pergi kerja jalan kaki. Kawan-kawan dulu semua menghilangkan diri. Keperluan anak, 100% saya minta dari dia. Susu anak tak ada, saya minta dia pergi belikan. 

    "Nak pergi dengan apa? Kereta tak ada. Tunggu balik kerja esok, saya belikan," katanya. 

    "Pergilah jalan kaki! Anak nak susu, tak boleh tunggu esok!" balas saya. 

    Tidak lama selepas itu, suami naik pangkat dan gaji pun naik. Suami sambung bayar kereta kawan dia, Proton Iswara. Bila dah ada kereta, dia beli pula telefon baru. Dia terlupa yang dia masih dalam pemerhatian saya lagi.  Dan sekali lagi dia buat perangai. suami saya yang gatal sebenarnya, sibuk bermesej dengan perempuan lain. 

    Bila dia kantoi, sekali lagi telefonnya menjadi mangsa, pecah telefon itu saya kerjakan. 

    "Siapa perempuan itu?!" soal saya tanpa dijawabnya. 

    Memang masa itu saya naik angin dan saya kejar dia dengan pisau pemotong daging. Mujur dia sempat masuk bilik dan kunci pintu. 

    Selepas peristiwa itu, saya memang berdendam dengan dia. Hidup dia pun kucar-kacir sampai kena buang kerja sebab selalu datang lambat. Sejak kes itu, saya memang abaikan dia walaupun serumah. Saya siap pergi kerja, di saya tak pedulikan langsung. Anak-anak saya tinggalkan dengan dia. Pandai-pandailah dia nak uruskan. Sebab itu dia selalu lambat pergi kerja. 

    Selepas dia dibuang kerja, kereta tak mampu bayar dan diambil oleh kawannya semula. Saya memang tak tolong. Masa itu saya tak ada kerja lagi, saya pergi kerja naik bas atau teksi. Saya rela susah naik bas dari beli kereta sebab saya tahu kalau saya beli kereta, mesti dia yang akan tumpang senang. 

    Setiap malam saya akan terbayangkan kecurangan suami. Hati rasa macam terbakar. Waktu itu saya tak boleh tengok muka dia, geram sangat. Saya nak dia rasa macam mana saya rasa. Keesokkannya sebelum balik kerja, saya pergi ke bandar belikan sebuah telefon yang paling murah dan kad sim baru. Saya guna nombor baru itu untuk sms ke nombor saya kononnya ada orang lain yang hantar pada saya. Sengaja saya simpan semua sms cintan-cintun dalam telefon itu.

    Dua tiga minggu itu saya asyik dengan telefon, tak berenggang dengan telefon. Sebenarnya waktu itu, tak ada apa-apa pun tetapi saya sengaja berlakon supaya dia curiga. Memang dia nampak curiga sebab dia dah mula tegur saya bermesej dengan siapa. 

    Dah banyak mesej romantik dalam telefon saya dan saya tinggalkan telefon di rumah sewaktu saya pergi kerja. Telefon baru itu memang ada dengan saya. Tengah hari itu, dia menghubungi nombor baru, saya cuma tersenyum dan biarkan panggilan itu tanpa dijawab. Banyak kali dia menghubungi nombor baru ini, tetapi saya tak jawab sehinggalah dia menghantar sms, 

    "Kau sape? Kenapa ganggu isteri aku?! Jawab call aku!" 

    Saya rasa puas hati, saya nak dia rasa apa yang saya rasa. Biarpun terpaksa berlakon. Tidak lama selepas itu, dia datang ke pejabat saya dengan kereta kawannya. Dia bawa saya pergi makan dan tanya siapa lelaki yang sms saya itu. Saya hanya ketawa dan tanya dia,

    "Pedih tak, bang?"

    Saya tinggalkan dia dan terus balik ke pejabat. Sejak dari itu suami berubah. Setahun saya ambil masa untuk ikhlaskan hati untuk menerima dia. Tiap-tiap malam saya terbayangkan semua perkara yang dia sudah buat pada saya. Kesusahan dan keperitan saya pada waktu itu sukar saya nak gambarkan dengan perkataan. 

    Akhirnya saya terima dia, saya mohon ampun pada dia, cium tangan dia. Saya tahu saya pun banyak buat salah dan kadang-kadang tak dapat menahan marah bila tahu dia curang dan mengkhianati saya. Suami menangis teruk waktu itu, dia beritahu saya yang dia sudah rasa apa yang saya rasa dan dia menyesal.

    "Ini peluang terakhir saya beri pada abang. Abang berubahlah betul-betul," kata saya pada dia. 

    Alhamdulillah, suami pun sudah berubah. Sekarang dia pun sudah berniaga sendiri. Pernah sekali gulung tikar, tiga tahun kemudian kami cuba lagi. Alhamdulillah, rezeki Allah. Anak pun dah bertambah seorang lagi. Kami pun dah semakin matang, ada bergaduh sekali sekali tetapi bukan disebabkan orang ketiga.

    Semua perniagaan dia saya yang uruskan. Dia jadikan saya orang terpenting dalam hidup dia dan saya pun jadikan dia orang yang terpenting dalam hidup saya. Apa-apa saja perkara, kami akan maklumkan walaupun perkara kecil. 

    Dugaan semalam walaupun pedih, mengajar kami banyak perkara. Banyak yang kami sudah tempuh. Yang akan datang, kami memohon pada Allah kuatkan hati kami untuk menempuhi segalanya bersama-sama. 

    Sekarang suami banyak masa di rumah. Cuma saya kadang-kadang bosan bila dia di rumah sebab suami sekarang dah dapat hobi baru, membebel. Meningkat usia ini jadi kaki bebel pula. Tetapi saya terima daripada jadi kaki perempuan. 10 kali saya lebih rela suami jadi kaki bebel seperti karang. Doakan kami berkekalan ke jannah. InshaAllah. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua. Jadikan Allah utama dalam hidup kita. InshaAllah kita akan kuat berdepan ujian Allah. 


    from The Reporter http://ift.tt/2oX5E7h
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment