loading...
  • Breaking News

    Thursday, April 13, 2017

    'Menangislah macam mana pun, awak takkan dapat lembutkan hati saya' - suami ceraikan isterinya yang ditangkap khalwat

    Foto hiasan | Google Images
    KUALA LUMPUR - "Gara-gara majlis pertemuan semula, rumah tangga kami musnah apabila cinta monyet isteri dengan rakan sekolah kembali berputik sehingga terjerumus ke lembah maksiat."

    Luah Ilias (bukan nama sebenar), 45, selepas isterinya ditangkap khalwat bersama teman lelaki yang juga bekas rakan sekolah di sebuah hotel bajet, mereka berpisah. 

    Dalam kejadian jam 3.25 pagi pada tahun lalu itu, hati Ilias hancur selepas dimaklumkan polis dan pihak berkuasa agama, isterinya berusia 48 tahun ditangkap khalwat bersama lelaki yang juga bapa kepada lima anak. 

    Ilias tidak menjangka, tindakan isterinya yang juga ibu kepada empat anak itu, meminta cerai dengannya sebelum ini adalah kerana mahu bersama kekasihnya. 

    Perubahan sikap isterinya mula disedari selepas dia menghadiri majlis pertemuan semula rakan-rakan sekolah menengahnya. 

    "Sepanjang perkahwinan, tiada masalah besar dalam keluarga kami. Isteri seorang yang penyayang dan dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya walaupun sibuk bekerja. 

    "Namun selepas majlis itu, sikapnya mula berubah. Dia mula bersikap dingin, kerap merungut serta balik lewat. Apabila ditegur, dia merajuk. Kami tidak bercakap sehingga berhari-hari," katanya. 

    Dua kali isterinya membuat permohonan cerai di mahkamah tetapi Ilias tetap tidak mahu melepaskannya kerana sayangkannya dan mahu mempertahankan rumah tangga yang dibina lebih 20 tahun itu. 

    "Mahkamah memberikan tempoh untuk kami berbincang bagi mencari penyelesaian kepada masalah rumah tangga ini. Tetapi semua sia-sia kerana isteri tetap berkeras mahukan penceraian. 

    "Bila ditanya apa alasannya, isteri hanya membisu. Saya buntu. Setiap kali mahu berbincang, isteri mengelak, dia mula marah-marah dan mengatakan saya suami dayus," katanya. 

    Menurut Ilias, dia pernah diberitahu keluarga bahawa mereka pernah ternampak isterinya keluar dengan lelaki lain di sebuah pusat beli belah. 

    Ilias tidak mahu percaya sehingga dia sendiri terserempak dengannya. Ilias cuba mendapatkan penjelasan, sebaliknya dia pula diherdik dan dituduh tidak tahu membezakan antara urusan peribadi dan kerja. 

    "Malah dia juga pernah berbohong, kata ada tugasan luar daerah selama dua hari tetapi hari keempat baru pulang. Alasannya, ada kerja mendadak yang perlu diselesaikannya. 

    "Suatu hari ketika isteri sedang menyiapkan makanan tengah hari, saya terjumpa resit bayaran hotel di dalam beg tangannya. Sejak itu saya mula mengesyaki sesuatu tetapi saya sembunyikannya. Namun segalanya terbongkar apabila dia ditangkap khalwat di dalam bilik hotel bersama teman lelakinya," katanya. 

    Bagi Ilias, tangisan maaf isterinya tidak dapat melembutkan hatinya dan mereka kini dalam proses penceraian. - Sinar Harian


    from The Reporter http://ift.tt/2o97bWQ
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment