Seorang wanita nekad melarikan diri selepas tidak tahan dirinya sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga setiap hari dalam tempoh tiga tahun.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah, 40, berkata, setiap hari dia sering disepak dan ditumbuk oleh suaminya, 39, penganggur, sejak mendirikan rumah tangga pada tahun 2015.
Selain dipukul dan ditumbuk, Sarah juga sering dimaki dan lelaki itu pernah mengugut mahu membunuhnya menyebabkan dia trauma untuk kembali ke rumahnya kerana tidak sanggup lagi mahu berdepan dengan suaminya yang psiko melakukan penderaan fizikal dan emosi terhadapnya.
"Seawal bulan pertama perkahwinan, dia menunjukkan sisi lain dirinya dari zaman bercinta apabila mula naik tangan memukul dan menumbuk sehingga menjejaskan prestasi kerja saya di pejabat.
"Saya bersabar dengan karenahnya kerana sayangkan perkahwinan kedua kami. Namun, ia bertambah buruk apabila dia dipecat kerja pada 2016 kerana dia 'banyak masa' untuk melepaskan geram kepada saya," katanya kepada wartawan Sinar Harian.
"Pada mulanya dia bawa saya pergi bermalam sebuah hotel untuk bercuti tetapi kegembiraan itu tidak lama apabila dia memukul dan kencing pada muka ketika saya dalam keadaan tidak berdaya.
"Dalam keadaan tidak bermaya itu, dia menggunakan pemetik api membakar lengan kiri. Kejadian itu meninggalkan pengalaman pahit dan saya tidak toleh ke belakang lagi apabila maruah saya sebagai isteri tercalar," katanya.
Difahamkan, sudah berpuluh laporan polis dibuat oleh Sarah, tetapi ditarik semula kerana dia percaya suaminya akan berubah. Tetapi malangnya, lelaki itu tetap mengulangi perbuatannya dan keadaan menjadi semakin teruk apabila kepalanya dipijak, tulang hidungnya retak akibat ditumbuk serta dicurahkan air panas di celah kangkang hanya kerana Sarah melawan.
"Dia pernah paksa saya mengambil dadah bersamanya. Dia juga mengugut akan menyebarkan foto bogel saya sekiranya saya buat laporan polis.
"Kali ini saya betul-betul nekad, laporan polis dibuat semalam atas tindakannya yang bukan sahaja mengancam saya tetapi keluarga juga. Ugutan bunuh bukan setakat di mulut apabila dia pernah meletakkan pisau di leher," katanya.
Sarah kini berharap dia dapat memulakan hidup baharu dengan keluat dan empat anak perempuannya berusia 15 hingga 7 tahun, hasil perkahwinan pertama yang kini dijaga oleh bekas semuanya, selepas selesai semua urusan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby mengesahkan menerima laporan itu dan pihaknya kini sedang giat mengesan suspek. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Sumber: Sinar Harian
from The Reporter http://bit.ly/2RZAb7j
via IFTTT
No comments:
Post a Comment