Semalam, penyanyi Linda Rafar memfailkan saman terhadap lebih 100 netizen yang menulis komen keterlaluan sehingga memburukkan dirinya dan keluarga berhubung isu fitnah sekumpulan jururawat di Hospital Shah Alam, Disember lalu.
Linda, 41, atau nama sebenarnya Azlinda Rafar menuntut individu terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi platform media sosial.
Linda menerusi peguamnya, Nurul Hafidzah & Associates berkata, notis tuntutan itu akan dihantar dalam tempoh sebulan bermula semalam.
"Kami sudah mengenal pasti individu terbabit berdasarkan komen keterlaluan mereka. Saya nak mereka buat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hingga 14 hari selepas notis diterima. Jika tidak berjawab, tindakan saman bakal diambil," tegas Linda.
Penyanyi itu berharap, tindakan tegasnya itu akan memberi pengajaran kepada netizen agar tidak sewenang-wenangnya menulis komen berbaur fitnah dan mengaibkannya serta membuli orang lain di media sosial.
Jelas Linda, dia pada awalnya mahu menyelesaikan dengan cara baik dengan mengalah dan meminta maaf dan tidak terlintas untuk sampai ke tahap mengambil tindakan undang-undang. Namun selepas ibunya meninggal dunia pada 11 Januari lalu, netizen semakin menjadi-jadi.
"Atas nasihat peguam dan selepas mengambil kira banyak perkara, saya teruskan notis ini. Saya tidak pernah berasa menyesal dengan apa dibuat. Saya hanya mempertahankan hak ibu," katanya.
Sehari selepas berita Linda mahu memfailkan saman terhadap lebih 100 netizen, ramai yang mula menghubungi Linda melalui Instagram untuk memohon maaf.
Difahamkan, Linda menerima lebih 40 'Direct Message (DM) untuk memohon maaf dan mengakui kesilapan mereka.
Walaupun begitu, ada beberapa individu yang enggan memberi kerjasama dengan alasan malu jika orang tahu mereka memuat naik permohonan maaf secara terbuka itu.
Linda pula bertegas, jika mereka tidak menuruti syarat yang ditetapkan, notis tuntutan permohonan maaf secara terbuka tetap akan dihantar atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
"Buat masa sekarang, peguam saya sedang membuat tapisan untuk pengecualian notis. Saya akui ada yang tak mahu beri kerjasama, alasan diberikan mereka malu orang akan tahu jika mereka memuat naik permohonan maaf itu.
"Ada yang menghantar mesej mereka menyesal kerana tak berfikir sebelum komen selain dipengaruhi rakan. Tahu pun mereka malu. Malu saya dan keluarga nak letak mana? Selepas apa yang mereka lemparkan kepada saya, baru pula mereka nak fikir perkara itu salah," katanya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter http://bit.ly/2HOgOZQ
via IFTTT
No comments:
Post a Comment