loading...
  • Breaking News

    Sunday, May 26, 2019

    Suami selalu curang maut ditikam isteri


    Tidak tahan dengan sikap suami yang selalu mendera dan curang, seorang wanita bertindak menikam suaminya dengan pisau semasa mangsa sedang tidur. 

    Dalam kejadian jam 7.20 pagi Jumaat lalu di bilik sewa di sebuah bangunan kedai di Bandar Cenderawasih, Sahabat 7, Lahad Datu, mangsa, Rasalan Jaya, 32, parah di bahagian perut. 

    Rasalan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu pada jam 5.05 pagi Sabtu lalu. 

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek berusia 26 tahun mengambil pisau pemotong sayur di dapur lalu menikam mangsa di bahagian sebelah kanan perut. 

    Mangsa kemudian mencabut pisau itu, berlari ke klinik berhampiran untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek sempat membuang pisau itu keluar melalui tingkap. 

    Polis yang menerima maklumat berhubung kejadian, lalu bergegas ke lokasi dan menahan suspek yang bersembunyi di dalam bilik serta dibawa ke Balai Polis Cenderawasih. 

    "Hasil siasatan lanjut mendapati, punca kejadian disebabkan mangsa selalu mendera suspek dan tidak memberikan nafkah kepada anak mereka. 

    "Pada masa sama, mangsa berlaku curang terhadap suspek sejak 2014, bagaimanapun suspek hanya membiarkan mangsa kerana bimbang rumah tangga mereka retak. 

    "Bagaimanapun, akibat tidak dapat mengawal emosi, suspek merancang menikam mangsa berkenaan," katanya. 

    Suspek ditahan dan polis turut merampas pisau sepanjang 25 sentimeter untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

    Sumber: Harian Metro


    from The Reporter http://bit.ly/2M81WrB
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment