Susulan viral di media sosial video yang menunjukkan seorang lelaki menembak mati seekor monyet dalam sangkar, polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesan individu terbabit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki terbabit melanggar dua peraturan iaitu penyalahgunaan senjata api.
"Seseorang individu yang memiliki lesen tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan tembakan. Setiap tembakan, walaupun sebutir peluru perlu diisytiharkan.
"Bagi kesalahan kedua, kita tidak dibenarkan untuk membunuh binatang kerana ia dikira sebagai menganiaya seperti kes lelaki yang memasukkan kucing ke dalam mesin pengering yang berlaku pada September 2018," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Selasa.
Huzir berkata, berdasarkan video itu, kejadian dipercayai berlaku di negara ini berdasarkan bahasa yang digunakan. Namun pihaknya perlu meneliti dan memastikan lokasi sebenar kejadian itu.
Sementara itu, Persatuan Haiwan Malaysia menawarkan ganjaran RM2,000 bagi individu yang mempunyai maklumat mengenai lelaki dalam video tersebut.
Terdahulu, video tersebut viral di Twitter menunjukkan seorang lelaki mengancam untuk menembak monyet di dalam sangkar sekiranya tidak menyebut 'Baby Sayang'.
Panggilan 'Baby Sayang' dipopularkan oleh pelakon Mira Filzah dalam video soal jawabnya bersama peminat baru-baru ini.
Dalam respon Mira Filzah berhubung video viral itu, beliau turut mengecam tindakan individu yang tidak berhati perut itu.
Ketika laporan awal mengenai video itu disiarkan, tampil dua individu yang mendakwa laporan itu tidak tepat dan mereka berdua lebih mengetahui cerita sebenar di sebalik video itu. Namun sehingga kini masih belum mendedahkan cerita sebenar meskipun telah diminta berbuat demikian.
LAPORAN BERKAITAN
from The Reporter http://bit.ly/2EqoIEW
via IFTTT
No comments:
Post a Comment