Hanya kerana terpaksa menunggu seketika, seorang pesakit asma menumbuk seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP). Tetapi, apa yang lebih mengagumkan, PPP tersebut tidak membalas dengan kekerasan, malah dirawat pesakit tersebut sehingga pulih. Perkongsian doktor ini sebenarnya membuka mata kita supaya sentiasa bersyukur dan berterima kasih dengan setiap perkhidmatan dan rawatan yang telah diberikan. Ketepikan soal diri, beri laluan kepada yang lebih memerlukan untuk mendapatkan rawatan.
DITUMBUK PESAKIT: Apa balasan staf?
Saya berasa amat hairan dengan nilai dan hati budi sesetengah orang yang mendapatkan perkhidmatan di hospital. Bagi pesakit-pesakit asma, pihak Jabatan Kecemasan menyediakan 'laluan terus' yang mana mereka akan diberikan keutamaan untuk terus mendapatkan gas 'nebulizer' apabila terkena serangan asma. Mereka tidak perlu menunggu seperti pesakit lain.
Seorang pesakit asma yang datang dengan serangan asma terus diberikan tempat duduk dan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang bertugas membancuh ubat lalu segera menyambungkan alat 'nebulizer' ke punca oksigen.
Pesakit berkenaan mendapat dos nebulizer yang penuh dan setelah selesai, menunggu untuk diperiksa semula. Kebetulan PPP tersebut perlu menghantar seorang pesakit dari zon asma ke zon merah kerana sesak nafasnya agak teruk.
Pesakit tersebut bertanya, "Bila nak periksa saya?"
Oleh kerana pesakit yang satu lagi agak tenat, PPP tersebut menjawab, "Sekejap, saya kena hantar pesakit ke zon merah."
"Berapa lama? Berapa minit? Berapa jam?" Dia tetap bertanya.
"Tunggu sekejap. Saya kena hantar pesakit."
Oleh kerana tidak mahu membuang masa dan memanjangkan risiko pesakit yang perlu mendapat rawatan lanjut di zon merah, PPP berkenaan terus menghantarnya ke sana.
Selesai menghantar pesakit, dia kembali ke zon asma. Pesakit yang menunggu tadi memandangnya dengan marah. Dia bangun lalu siku kirinya 'mengunci' leher PPP terbabit dan kepalanya ditumbuk hingga bengkak dahinya. Tidak cukup dengan itu, cermin mata PPP terbabit dirampas lalu dia membuka kasutnya lalu menghentak cermin mata hingga pecah.
Kejadian disaksikan oleh doktor termasuk pakar yang berada berhampiran. Ada juga seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam yang nampak dan dia membantu meleraikan PPP dari pesakit tadi. Polis bantuan dipanggil dan apabila tiba, pesakit tadi bercakap dengan bahasa yang lebih lembut dari lidah.
Laporan polis dibuat. Begitu juga borang insiden keganansan. Setiap insiden keganasan diselia oleh unit keselamatan pekerja dan diangkat ke pengurusan termasuklah untuk tindakan undang-undang.
Kali ini, semua butir mangsa ada dalam kad rawatan hospital. Maka laporan polis berserta nama penuh pesakit dibuat. Jadi sukar untuk penyerang ‘melepaskan’ diri.
Bagaimana staf kecemasan membalas perlakuan ini? Dia diperiksa semula dan oleh kerana masih ada sisa 'asma', gas nebulizer seterusnya diberikan dan dia dirawat hingga asmanya pulih.
Walaupun geram dan ibarat kata pakar yang menjadi saksi 'hati menjadi robek' melihatkan perlakuan ganas pesakit itu, profesionalisme tetap dikekalkan sambil menahan marah dengan sabar. Bila ditanya samada PPP berkenaan ok, dia tenang dan berkata, "Saya ok doktor."
Kad dibuka dan PPP tadi diperiksa dan semua kecederaannya didokumenkan. Ini juga akan menjadi bahan bukti di mahkamah. Dia juga dirujuk kepada Pegawai Kaunseling kerana kami khuatir dia traumatik terhadap insiden ini.
Pesakit sedang disiasat oleh polis dan insiden ini adalah insiden jenayah kerana menyerang anggota awam. Kami pasti dia akan dikenakan tindakan undang-undang. Pada masa lalu, 'penyerang' staf juga telah dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan tindakan.
Pihak pengurusan HKL amat serius memastikan kes keganasan di tempat kerja diambil tindakan undang-undang. Sudah ada kes yang didakwa di mahkamah dan penyerang dikenakan tindakan undang-undang dengan bukti yang ada. Tambahan pula terdapat cctv di hospital.
Ke manakah hilangnya nilai peribadi yang mulia di kalangan sesetengah orang? Terima kasih pun tidak kedengaran lagi. Secara peribadi, saya masih mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang ‘menjalankan tugas’... termasuklah yang menyapu sampah di hospital. Semasa kecil lagi, saya mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas apabila turun dari bas seperti yang diajar oleh ibu saya.
Malah pagi tadi semasa ‘grand round’ seorang pesakit yang tangan dan lututnya luka telah diberikan rawatan tetapi apabila PPP saya datang hendak memberikan suntikan ubat tahan sakit, ia disambut dengan kata-kata hina dan mencarut kerana tidak cukup segera memberikan ubat tersebut.
“Encik kalau hendakkan rawatan sila tunjukkan hormat kepada staf saya. Kalau you tak hormat dia, you juga tak hormat saya. Dia datang nak tolong awak.”
“Ini bukan tolong! Ini kerja! Dapat gaji bukan?”
Benar kami dibayar gaji. Gaji yang sama hatta melihat jumlah pesakit yang infiniti jumlahnya. Benar kami dibayar gaji tetapi ‘menjadi hamba abdi’ kepada pesakit bukanlah dalam senarai tugas kami.
Sebelum itupun, saya diberitahu, jururawat yang bertugas sudah menerima kata-katanya yang 'indah' berupa makian dan cacian tetapi mereka teruskan bekerja. Bagaimana staf saya membalasnya? Suntikan ubat tahan sakit tetap diberi. Saya mengulang memberitahunya bahawa kalau hendak dibantu untuk menunjukkan rasa hormat.
Hati saya terbakar dan sekali lagi bertanya, “Di manakah hilang kemanusiaan dalam diri mereka?”
Saya tahu kami semua tidak mahu ‘turun’ ke taraf yang amat rendah seperti mereka. Maka kami teruskan memberi rawatan secara profesional. Walaupun ‘hati menjadi robek’, sekurang-kurangnya taraf peribadi kami tidak serendah mereka.
Bukankah indah jika pesakit dan perawat saling hormat-menghormati dan saling faham-memahami dalam situasi kecemasan?
Dalam keadaan ‘robek hati’ ini, terubat juga melihat pesakit lain yang menunjukkan hormat dan peribadi yang baik semasa rawatan diberi. Tentunya mereka ini mempunyai didikan yang baik dengan nilai peribadi yang mulia dan memudahkan rawatan diselesaikan dengan sempurna tanpa hati yang terluka. Menjadi pesakit bukannya mudah dan tentunya memerlukan kesabaran. Untuk mereka kami ucapkan terima kasih.
Harga diri manusia diukur bukan dari pangkat dan darjat tetapi dari nilai peribadi yang terlukis dari kata-kata dan perbuatan.
Nota: Pos ini bagi tujuan pendidikan untuk masyarakat (public education) dengan harapan supaya keganasan terhadap petugas perubatan tidak berlaku. Bagi staf kesihatan, kami sentiasa megingatkan untuk sentiasa menghormati semua pesakit dan sedaya upaya memberikan khidmat yang baik biarpun dalam keadaan sukar, kekurangan staf dan pesakit yang ramai.
Contoh motivasi kami kepada staf adalah seperti ini :
Sumber: Alzamani Mohammad Idrose
from The Reporter https://ift.tt/2pZYyom
via IFTTT
No comments:
Post a Comment