Seorang lelaki etnik Rohingya dilaporkan telah melarikan diri ke Pulau Pinang selepas menikam rakan senegaranya sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Bukit Tembok, pagi Rabu, 6 April 2022.
Mayat mangsa ditemui oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun pada jam 9.40 pagi ketika mahu memeriksa rumah yang didiami suspek.
Menurutnya, dia terdahulu diminta oleh bapanya untuk memeriksa rumah tersebut dan tidak menyangka akan menemui mayat mangsa di dalam rumah berkenaan.
"Lelaki yang dipercayai menikam mangsa, berjanji akan bekerja dengan bapa saya hari ini. Namun, sebaik bapa menghubungi dia mengaku bergaduh dengan rakan serumah dan telah melarikan diri serta tidak tahu keadaan rakannya sama ada masih hidup atau mati.
"Bapa seterusnya menghubungi saya pada jam 8.30 pagi dan meminta saya memeriksa rumah. Sebaik saja membuka pintu rumah, saya menemui mayat mangsa dan terus menghubungi polis," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Rabu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Nanda Maarof berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa berusia 19 tahun ditemui berhampiran dapur dalam keadaan tidak berpakaian dan terdapat kesan tikaman di bahagian kiri perut.
Polis percaya mangsa telah meninggal dalam tempoh lima jam sebelum ditemui dan ditikam menggunakan senjata tajam, tetapi pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui senjata yang digunakan suspek.
Suspek dikatakan telah mendiami rumah sewa itu sejak setahun lalu dan mangsa menumpang di rumah suspek sejak seminggu lalu. Dari keterangan jiran berdekatan, mereka mendakwa terdengar pergaduhan di antara suspek berusia 40 tahun dengan mangsa.
Susulan itu, polis telah menahan suspek di sebuah kedai pakaian di Jalan Aston, Bukit Mertajam pada jam 1.30 tengah hari semalam, dengan bantuan polis Kontinjen Pulau Pinang dan akan diserahkan kepada pihak polis Seremban untuk tindakan lanjut.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/HuyLq0O
via IFTTT
No comments:
Post a Comment