Seorang lelaki yang tergamak merogol isteri rakannya sendiri yang sarat mengandung dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka, Jumaat lalu, 8 April 2022.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 25 tahun kira-kira 4.20 pagi, 21 Jan lalu, di Taman Debunga, Merlimau, Jasin, Melaka.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, mangsa sedang tidur sebelum tiba-tiba didatangi tertuduh yang menutup mukanya menggunakan kain putih.
Tertuduh kemudian mengugut mangsa dengan menggunakan pisau dan memaksanya menanggalkan pakaian sebelum merogolnya.
Ketika kejadian, wanita itu sarat mengandung tujuh bulan dan tinggal seorang diri, manakala suaminya dipenjarakan atas kesalahan dadah.
Tertuduh yang masih bujang dan tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman diringankan.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tertuduh merupakan kenalan suami mangsa dan tahu lelaki itu dipenjarakan.
Katanya, ketika kejadian mangsa sarat mengandung dan jenayah yang dilakukan meninggalkan kesan trauma serta gangguan emosi sehingga wanita itu kini malu untuk berdepan keluarga, terutama suaminya.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap, iaitu 24 Jan lalu dan dikenakan tiga sebatan.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/hLeQmMY
via IFTTT
No comments:
Post a Comment