loading...
  • Breaking News

    Monday, February 19, 2018

    (Video) 'Kenapa kau tumbuk polis tu?'


    Seorang remaja lelaki ditahan polis gara-gara bertindak melulu dan menyerang seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas di sebuah lokasi kemalangan, lapor Astro Awani.

    Dalam kejadian jam 3.15 petang di bulatan Kampung Lebak Moyoh, Jumaat lalu, suspek berusia 19 tahun secara tiba-tiba menyerang anggota polis trafik yang cuba membantu meredakan ketegangan di antara dua pihak susulan kemalangan yang melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah motosikal jenis Honda Wave. 

    Kejadian itu juga dirakam orang awam sebelum video dimuat naik dan viral di media sosial sejak petang semalam. 

    Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, mengesahkan kejadian itu dan suspek telah ditahan serta-merta di lokasi kejadian dengan bantuan sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan daripada pengadu. 

    Siasatan awal mendapati, pengadu yang juga anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud tiba di lokasi kejadian untuk mengambil gambar kemalangan terbabit sebelum didatangi dua lelaki yang disyaki ahli keluarga mangsa kemalangan berkenaan. 

    "Selepas pengadu selesai mengambil gambar, dia didatangi oleh dua lelaki menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga yang merupakan ahli keluarga mangsa kemalangan itu.

    "Semasa pengadu memperkenalkan diri sebagai anggota polis, secara tiba-tiba dia ditumbuk di belakang kepalanya oleh seorang lelaki tidak dikenali (suspek).


    "Susulan daripada kejadian itu, anggota polis berkenaan kemudiannya meminta bantuan daripada trafik IPD Kota Belud sebelum sepasukan anggota tiba dan membuat tangkapan ke atas suspek di lokasi kejadian," katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


    from The Reporter http://ift.tt/2o9RyBj
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment