Gara-gara digigit semut charlie ketika tidur, bayi berusia 11 bulan mengalami bengkak di bahagian muka.
Dalam kejadian pada minggu lalu di rumahnya di Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, gigitan semut itu menyebabkan mulut mangsa, Muhammad Iffat Iskandar Mohd Babudin, bernanah. Keadaan itu menyebabkan dia sukar untuk minum susu selama beberapa hari.
Menurut ibunya, Koperal Nurul Nazirah Zainol berkata, anaknya dipercayai digigit semut charlie pada jam 12 tengah malam Ahad lalu ketika tidur.
"Kami menyedari dia digigit semua charlie kira-kira jam 3 pagi selepas dia mula merasa gatal-gatal menyebabkannya tidak selesa. Kami membawanya ke Hospital Pekan dan menerima rawatan biasa.
"Pada mulanya keadaannya agak membimbangkan, mulutnya bengkak dan bernanah menyebabkannya susah hendak minum susu. Namun sekarang keadaannya bertambah baik. Bahagian bengkak sudah mulai kering," katanya.
Turut menerima nasib yang sama adalah anak jiran mereka berusia dua tahun sembilan bulan, Adriella Angel Stenley, digigit semut charlie di bahagian mata pada malam yang sama.
Gambar kedua kanak-kanak itu viral di media sosial dengan mesej yang meminta golongan ibu bapa berhati-hati dengan gigitan semua berkenaan yang boleh memberikan kesan bengkak, sakit dan gatal pada kanak-kanak.
Nurul Nazirah berkata, kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku, namun keadaan penghuni yang pernah menjadi mangsa semut itu tidaklah seteruk nasib yang menimpa dua kanak-kanak berkenaan.
"Kalau gigit orang dewasa, kesannya tidak teruk sangat. Memang di sini ada semut charlie kerana dahulunya perumahan ini adalah kawasan hutan, malah masih ada hutan di belakang kompleks ini," katanya.
Ekoran kejadian itu, Jabatan Kesihatan Daerah Pekan akan melakukan semburan kabus bagi membunuh semut charlie pada malam ini di dalam rumah dan di kawasan sekeliling.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/2Ios38e
via IFTTT
No comments:
Post a Comment