Tindakan kejam seorang pengasuh yang memasukkan cili ke dalam mulut seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun enam bulan sehingga menyebabkan kematiannya Jun lalu, dibalas dengan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini.
Hakim Datuk Abu Bakar Jais menjatuhkan hukuman tersebut selepas Asmarani Ghazali, 39, yang merupakan ibu kepada tiga anak mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(5)(b) Akta Kanak-kanak 2001.
Tertuduh didakwa menganiaya Muhammad Afif Kamarol Azli dengan cara memasukkan sebiji cili berwarna hijau ke dalam mulut mangsa sehingga menyebabkan kematian mangsa di sebuah rumah di Jalan TTJ 3/1B, Taman Tuanku Jaafar, Sungai Gadut di sini antara pukul 9.30 pagi dan pukul 10 pagi, 13 Jun lalu.
Pertuduhan pilihan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut seksyen tersebut yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam, Datuk Hanif Hassan yang mewakili tertuduh memohon hukuman yang ringan atas alasan anak guamnya telah menjaga mangsa sejak berusia lima bulan dan sepanjang tempoh penjagaan sebelumnya, tiada masalah berlaku antara tertuduh, mangsa dan keluarga mangsa.
“Saya juga memohon hukuman ke atas tertuduh diringankan kerana ini merupakan kesalahan pertama dan tertuduh tiada sebarang rekod jenayah dan dia telah menyesal dengan apa yang berlaku serta berjanji tidak akan mengulangi sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang,” kata Hanif.
Bagaimanapun, pihak pendakwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 15 tahun terhadap Asmarani kerana menyifatkan kesalahan dilakukannya amat serius selain hukuman tersebut sebagai pengajaran kepada masyarakat yang ingin melakukan perbuatan sama. - Utusan Malaysia
from The Reporter https://ift.tt/2NPJa8V
via IFTTT
No comments:
Post a Comment