loading...
  • Breaking News

    Thursday, March 28, 2019

    'Aku menjerit, mengucap, aku tengok isi paha aku terkeluar' - Danial Arief ceritakan semula detik kejadian yang menimpanya tahun lalu


    November 2018, seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Korea Selatan dilaporkan cedera parah selepas kakinya 'ditelan' mesin pengisar. Keadaan itu menyebabkan kedua-dua belah kaki mangsa, Danial Arief hancur dan terpaksa dipotong. 

    Selepas beberapa bulan berlalu, Danial melalui Facebooknya tampil menceritakan saat-saat kejadian yang tidak diingini itu berlaku. Sesungguhnya, kesakitan yang dialaminya itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

    HARI ini mood aku agak membosankan sebab tak pergi mana. yelah, cuaca sini kejap ok kejap tak, kan. Jadi, hari ini aku rehat saja dalam bilik. Ramai orang yang baru follow nak tahu macam mana kemalangan itu boleh berlaku, apa sebabnya. Ok, ada sikit benda aku nak tulis, cerita pada hari kejadian. 

    Aku bangun pagi seperti biasa jam 6:00 pagi. Start kerja jam 7:00 pagi. Dah mandi apa semua, jam 6:40 pagi aku turun ke bilik, lepak hisap rokok. Yang anehnya, safety boot aku hilang pada hari itu. Dah macam orang gila aku cari, tapi tak jumpa. Tak apalah, aku pinjam kasut member aku then terus pergi start mesin. Maklumlah, itulah kerja aku, start mesin recycle. 

    Jam 9:00 pagi, ejen kesayangan aku datang. Aku panggil dia Omma sebab dia dah macam mak aku dan dia layan aku macam anak dia. Dia ambil aku sebab nak bawa pergi ke klinik, periksa kaki aku. Seminggu sebelum itu, di bahagian betis kaki terkena pisau. Lukanya agak dalam.

    Selesai urusan di klinik, dia tanya aku nak makan apa. Aku jawab, tak kisah pun apa-apa. Sekali dia bawa aku pergi Lotteria, haaa breakfast makan burger bhai. Katanya pizza tak buka lagi. Hahaha. Habis makan, dia terus aku aku balik ke kilang. 


    Jam 3:00 petang, mesin berhenti sebab tiba-tiba jem. Aku sebagai operator, technician, engineer apa semua pergilah tolong tengok apa yang terjadi. Mesin itu tak bergerak, tak boleh jalan. Kitorang pun hairan. 

    Aku tanya leader (orang lama), nak tak masuk mesin? Dia kata, "Ok, jap nak stop mesin". Dia dah settle, ok aku pun masuk. Tengah clearkan benda yang dipercayai menjadi punca mesin itu tersangkut, tiba-tiba aku terjunam dalam pengisar. Allahuakbar! 

    Aku menjerit! Aku mengucap! Aku fikir aku akan mati. Kaki aku kebas, aku tengok isi paha aku terkeluar. Menitik air mata aku. Aku mengucap banyak kali. Member aku sempat menghentikan mesin itu. 

    Ya Allah, member semua keliling aku, menangis diorang melihat keadaan aku. Ada juga yang nak pengsan. Aku sendiri menggigil tengok keadaan kaki sendiri. Diorang bagi aku air. Masa itu aku meraung sekuat hati. Aku jeri Laillahaillallah. 


    Selepas tiga minit kemudian, bomba dan medic datang. Diorang tenangkan aku, periksa tekanan aku macam mana. Masa itu aku memang rasa haus sangat-sangat. Aku fikir, "Ya Allah, inikah sakaratul maut?". 

    Aku rasa dahaga sangat-sangat. Sebelum diorang datang, aku minum dua botol mineral yang diberi oleh member. Orang medic tanya nama aku apa, duduk mana. Aku dah stress. Aku minta air, dia tak boleh dan bahaya. Aku hairanlah. Kemudian dia bagi bantuan oksigen ke mulut aku. Boleh pula dia ajak berborak dengan aku. 

    Kaki kanan aku memang hancur habis, kaki kiri tersangkut. Diorang ambil keputusan untuk potong. Masa kaki dipotong, Allahuakbar, azad dia. Kesakitan yang tak pernah aku rasa. Selepas kaki habis dipotong, terus diorang angkat aku masuk ambulans. 

    Dalam ambulans pula, aku cuba minta air. Weh! Memang aku rasa dahaga sangat-sangat tetapi dia tetap tak nak bagi. Aku tak nak pandang langsung apa yang terjadi pada kaki aku sebab aku takut aku pengsan. Tiba-tiba ambulans berhenti, tudiaaa helikopter pula datang dan aku dibawa naik ke helikopter. 

    Masa itu aku dah nak pengsan dah. Ada seorang itu tiba-tiba menampar muka aku dan kata "WAKE UP!". Kemudian dia tanya apa makanan kegemaran aku, kenapa tak suka makanan Korea? Aku masa tu sabar je, mengucap je dalam hati ini. Dalam masa yang sama aku rasa nak melayang, pening sangat-sangat. 

    Selepas lima minit kemudian, aku sampai di Hospital Ajoudae. Kelam kabut diorang bawa aku. Masa itu pandangan aku dah kabur. 

    PANGGGGG!!!! Muka aku kena tampar lagi.

    Masuk saj ke dalam bilik bedah, aku tengok ramai doktor tengok dan rekod aku. Kemudian doktor letak anesthesia di hidung menyebabkan aku terus pengsan. 

    Selepas tiga hari kemudian, aku pun sedar. Benda pertama yang aku cari adalah air. Memang aku dahaga sangat-sangat. Tekak terasa sakit, entah apa yang doktor letak dalam tekak. 

    Keesokan hari jam 6:00 petang, mak dan ayah masuk tengok aku. Ya Allah betapa sedihnya aku tengok diorang menangis. Sumpah aku tak kuat. 


    Pengajarannya, selepas ini kalau bekerja kena utamakan keselamatan diri dulu. Jangan jadi macam aku. 

    Sumber: Danial Arief

    BERITA BERKAITAN:


    from The Reporter https://ift.tt/2WuDrFq
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment