Polis menahan seorang penganggur kerana disyaki mendera dua anaknya masing-masing berumur lima dan 13 tahun di rumahnya di Taman Sri Emas di sini, malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, suspek lelaki berumur 36 tahun itu ditahan untuk siasatan selepas isterinya berumur 34 tahun membuat laporan di balai polis di sini pada jam 8.20 malam.
Menurut Razali, wanita tersebut dalam laporannya memberitahu pada kira-kira jam 6 petang semalam, suspek telah mengamuk dan memarahi anak mereka dengan menarik rambut anak perempuan yang berumur 13 tahun.
Katanya semasa si isteri cuba menghalang, dia telah ditampar pipi kanan sambil rambutnya turut direntap dan kepala dihentak di kerusi selain tangan kiri dipulas ke belakang.
“Anak pasangan itu lari masuk ke bilik dan suaminya telah membaling pakaian ke muka anaknya. Suspek juga menumbuk perut isterinya, menghentak kepalanya di dinding dan mencekiknya sehingga sukar bernafas," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Razali berkata, kejadian itu menyebabkan isteri suspek yang merupakan pembantu perawatan Hospital Kuala Kangsar cedera, manakala anak-anak pasangan tersebut mengalami trauma dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan 323/326A Kanun Keseksaan.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek sering memukul isterinya dan pasangan tersebut sedang dalam proses perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar. - Bernama
from The Reporter http://bit.ly/2Qc9urJ
via IFTTT
No comments:
Post a Comment